Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Hasrat Terengganu FC untuk merapatkan kedudukan dengan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menjadi kenyataan apabila mereka tewas 1-4 kepada Penang FC di halaman sendiri malam tadi.

Ini adalah perlawanan yang menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan selepas skuad Penyu mencipta kejutan leburkan rekod tanpa kalah JDT di Stadium Sultan Ibrahim minggu lepas.

Namun, segala-galanya tidak menjadi apabila Penang membuktikan mereka pasukan yang lebih baik selepas mempamerkan persembahan cemerlang mengikut taktikal yang dirancang oleh pengendali dari Republik Czech, Tomas Trucha.

Sebaik sahaja pengadil meniup wisel sepak mula, Penang bermula dengan garang dan terlebih dahulu menjaringkan gol pertama seawal minit ke 8 melalui Sheriddin Boboev yang bijak menanduk masuk bola sepakan penjuru daripada ketua pasukan, Endrick Dos Santos.

Tersentak dengan jaringan itu, Terengganu bangkit menyusun gerakan dan mereka mempunyai beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan namun dikecewakan dengan penyudah yang tumpul oleh jentera serangan.

Skuad Harimau Kumbang itu kemudian menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-21 dengan kali ini disudahkan sendiri oleh Endrick yang mengambil peluang terhadap bola muntah. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, skuad kendalian Nafuzi Zain mula merapatkan kedudukan menerusi rembatan gol jarak jauh bintang muda, Hakimi Abdullah pada minit ke-59 sekaligus menceriakan ribuan penyokong tuan rumah yang hadir memberikan sokongan padu.

Bagaimanapun, semangat pemain Terengganu mula lemah apabila penyerang import Penang, Casagrande menambah gol ketiga dengan menanduk masuk hantaran pemain kacukan Malaysia-Australia, Quentin Cheng pada minit ke 65.

Tidak cukup dengan itu, Casagrande terus memastikan kemenangan berpihak kepada Penang apabila menanduk masuk satu lagi gol pada minit ke 68. Ia adalah jaringan ketujuh beliau dalam saingan Liga Super musim ini.

Dalam perlawanan ini juga jelas menunjukkan pemain pertahanan Terengganu kalah dari segi fizikal dan perebutan bola di udara dengan penyerang Penang.

Kemenangan itu menyaksikan Penang kini mengumpulkan 22 mata, hanya ketinggalan satu mata di belakang pencabar terdekat, Kedah Darul Aman FC, dan dua mata di belakang JDT.

Terengganu FC juga masih berpeluang untuk mencabar kedudukan teratas jika mereka bangkit mempamerkan prestasi yang konsisten pada perlawanan yang akan datang.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Tok Gajah Mengamuk Belasah UiTM Di Kuantan

Aksi Kedah Bertemu JDT Berlangsung Tanpa Penonton, TicketHotline ‘Refund’ Tiket Yang Terjual

Pemain Kacukan Malaysia-Australia Sah Sertai Kuala Lumpur City

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group