Nampaknya isu pemotongan enam mata dalam Liga Premier kini telah memasuki episod baharu apabila Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) telah membuat keputusan untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Beberapa hari lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan FAP dikenakan pemotongan enam mata oleh FIFA ekoran kegagalan pengurusan mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA untuk menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo.

Pemotongan mata itu juga telah menghampakan hasrat penyokong pasukan itu untuk menyaksikan kelibat pasukan mereka beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Bagaimanapun, Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah mengakui sangat kecewa dengan kesilapan yang dilakukan oleh pengurusan lepas dan pengurusan FAP yang baharu ini sanggup membayar caj penalti walaupun berganda daripada tuntutan wang asal sekiranya keputusan pemotongan enam mata daripada pasukan negeri ini dapat ditarik balik oleh FIFA.

“Kami akan membuat rayuan kepada CAS terhadap keputusan FIFA yang dilihat begitu keras kepada pasukan Pulau Pinang yang baru berjaya menempuhi segala rintangan untuk layak ke Liga Super musim depan,” katanya dalam Bernama.

67662567_3445540195472094_4826742207828459520_n
FOTO: FA Penang

Dr Amar berkata FAP dengan bantuan kerajaan negeri sedang berusaha untuk melantik peguam yang berpengalaman untuk mengemukakan rayuan kepada CAS dalam tempoh masa yang terdekat.

“Proses rayuan sedang diusahakan dan saya menjangka keputusan rayuan itu tidak akan mengambil masa panjang, mungkin dalam masa satu atau dua bulan sahaja,” katanya.

Sumber