Isu pemotongan enam mata dalam Liga Premier kini telah memasuki episod baharu apabila Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) telah melantik seorang peguam sukan berpengalaman dari Bulgaria, Vassil Dimitrov bagi mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut laporan daripada Bernama, Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah menjelaskan pihaknya akan menyiapkan proses dokumentasi sebelum dikemukakan secara rasmi kepada pihak CAS pada minggu hadapan.

“Pelantikan peguam Dimitrov yang berbangsa Bulgaria atas sebab pengalaman beliau dalam mengendalikan kes-kes sedemikian dan surat rayuan yang disiapkan peguam juga akan diteliti oleh pihak FAP sebelum diserahkan kepada CAS,” katanya.

67662567_3445540195472094_4826742207828459520_n
FOTO: FA Penang

Beliau turut mendedahkan kos untuk mengemukakan rayuan di mahkamah tersebut dijangka akan mencecah hampir RM47,000 tetapi ia penting demi untuk menyelamatkan maruah pasukan bola sepak negeri itu.

“Selepas pelbagai usaha yang dilakukan…saya berharap CAS akan meneliti rayuan kami dan memberikan satu keputusan yang adil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyokong hasrat FAP untuk membawa kes tersebut ke CAS dan berharap para pemain tidak kecewa sekiranya rayuan mereka telah ditolak.

“Kalau FIFA tidak terima rayuan itu…jangan terlalu kecewa mungkin ada hikmah di sebaliknya dan anggap ini sebagai cabaran baharu untuk meningkatkan prestasi pasukan dalam pelawanan yang akan datang,” katanya.

67634965_3439328976093216_6916416480787562496_o
FOTO: Penang FA

Beberapa hari lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan FAP dikenakan pemotongan enam mata oleh FIFA ekoran kegagalan pengurusan mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA untuk menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo.

Pemotongan mata itu juga telah menghampakan hasrat penyokong pasukan itu untuk menyaksikan kelibat pasukan mereka beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Bagaimanapun, pengurusan FAP yang baharu ini sanggup membayar caj penalti walaupun berganda daripada tuntutan wang asal sekiranya keputusan pemotongan enam mata daripada pasukan negeri ini dapat ditarik balik oleh FIFA.

Sumber