Transisi sementara legenda futsal Thailand, Kritsada Wongkeaw ke bola sepak nyata membuahkan hasil apabila beliau berjaya menjulang trofi Thai League 2 2022/23 bersama Nakhonpathom United.

Kejayaan itu hadir pada aksi terakhir saingan liga dimana keputusan 2-0 yang turut menyaksikan Kritsada menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan penalti telah menghadiahkan kejuaraan buat Nakhonpathom United hanya dengan kelebihan rekod pertemuan (head to head).

Hal ini kerana Nakhonpathom dan Trat FC terikat dengan 60 mata tetapi pasukan diwakili Kritsada itu dua kali berjaya menundukkan lawan tersebut pada musim 2022/23.

Ketika pelbagai kejuaraan dalam futsal telah dimenanginya di peringkat kelab dan negara termasuklah beraksi dalamĀ tiga edisi Piala Dunia berturut-turut, Kritsada sebenarnya menyimpan angan-angan kecil untuk bermain bola sepak secara kompetitif.

Sehubungan dengan itu, kejayaan manis tersebut nyata memberikan makna yang cukup besar buat Kritsada kerana impiannya itu kini diserikan lagi dengan kejayaan muncul juara liga.

Selepas misinya bersama Nakhonpathom sudah berakhir sehingga berjaya membawa kelab tersebut dinaikkan pangkat ke saingan Thai League 1, Kritsada Wongkeaw akan kembali semula bersama Bluewave Chonburi untuk memberikan tumpuan dalam futsal.

Bluewave Chonburi amat memerlukan khidmat serta pengalaman luas beliau kerana kelab tersebut pada ketika ini dalam fasa sukar berikutan falsafah baharu dengan proses transformasi bagi memberikan lebih peluang kepada pemain muda untuk menggalas tanggungjawab penting buat pasukan.