Perlawanan suku akhir Piala Malaysia diantara Kedah Darul Aman (KDA) menentang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berbalas status di media sosial untuk mengusik DYAM Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ).

Isu bermula apabila TMJ mengkritik kegagalan pengurusan KDA melunaskan gaji pemain dan jurulatih yang dilaporkan sudah tertunggak selama dua bulan.

Sanusi yang ‘panas hati’ dengan campur tangan TMJ dengan isu tunggakan gaji pasukan KDA sempat menulis beberapa hantaran di laman facebooknya untuk mengusik pemilik JDT tersebut.

Gara-gara kerana sikap nakal Menteri Besar Kedah itu, Ketua Pemuda PAS negeri Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz memohon maaf kepada TMJ.

Menurut kenyataanya dalam Suara Perak, pihaknya khuatir akan berlaku salah faham berpunca kekhilafan laras bahasa yang digunakan oleh Sanusi.

“Tanpa niat menderhaka, kami percaya bahawa beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Menteri Besar Kedah hanya membangkitkan semangat kesukanan, bukan atas dasar kepentingan peribadi.

“Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor dengan rendah hati ingin merafak sembah ampun kepada Tunku Mahkota Johor di atas kekhilafan yang berlaku,” katanya.

Kedah JDT
FOTO: JST

Meskipun perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan namun Sanusi tetap memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh pemain KDA yang hanya dibarisi oleh 2 pemain import serta 5 pemain muda tempatan.

“Saya turut hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan itu. Memang saya ingat kita akan balun JDT tetapi ternyata JDT juga bukan calang-calang dan kita akui kehebatan mereka.

“Kedah walaupun negeri miskin bertanding dengan pasukan kaya, tetapi pasukan kaya tidak menang. Walaupun miskin tetapi semangat juang kita tinggi,” katanya dalam sidang media.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Kedah Bertemu JDT Rekodkan 1.87 Juta ‘Views’ Dari Keseluruhan 3.77 Juta Untuk 4 Perlawanan Piala Malaysia

Kerteh FC Jual Beras Sebagai Produk Terbaharu Kelab, Kerjasama Dengan IKS Tempatan Untuk Kukuhkan Jenama

KL City Rancang Naturalisasikan Romel Morales