Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Rata-rata peminat bola sepak tanah air menolak sekiranya bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera dijadikan sebagai pemain naturalisasi sekaligus beraksi bersama skuad kebangsaan.

Terdapat cadangan oleh salah sebuah media untuk menjadikan Cabrera sebagai pemain naturalisasi sekiranya pemain itu kembali menyertai JDT menerusi satu gambar dari belakang yang dimuat naik di laman media sosial Facebook pasukan yang seolah-olah menunjukkan Cabrera.

Gonzalo Cabrera

Sumber Gambar: JST

Isu naturalisasi ini timbul apabila Cabrera sudah melepasi syarat utama untuk mengikut jejak langkah Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula iaitu beraksi di liga domestik sesebuah negara selama lima musim.

Cadangan ini lantas ditolak oleh rata-rata peminat bola sepak tanah air dan mereka mempunyai alasan mengapa mereka menolak meskipun pemain dari Argentina ini merupakan salah satu pemain import terbaik yang pernah menghiasi Liga Malaysia.

Antara sebab mengapa mereka menolak ialah faktor umur Gonzalo Cabrera yang sudah mencecah 33 tahun. Peminat tidak mahu episod hitam kembali melanda negara apabila mengambil pemain yang sudah berusia 30 tahun ke atas seperti De Paula dan Liridom namun gagal untuk mencipta sebarang impak.

Gonzalo Cabrera

Sumber Gambar: JST

Sebab lain adalah pasukan negara kini mempunyai pemain sayap berkualiti seperti pemain yang sedang meningkat naik iaitu Arif Aiman dan beberapa pemain lain seperti Safawi Rasid, Faisal Halim, Akhyar Rashid dan pemain yang baru sahaja pulih daripada kecederaan iaitu Ramadhan Saifullah.

Tidak dinafikan pemain naturalisasi sedia ada masih lagi gagal untuk mencipta impak positif bagi pasukan negara dalam beberapa kejohanan serta perlawanan persahabatan antarabangsa yang dihadapi setakat ini.

Sekiranya Cabrera kembali ke saingan Liga Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhajat untuk menjadikan beliau sebagai pemain naturalisasi, maka kajian lebih mendalam perlu dilakukan oleh badan induk bola sepak negara itu.

Penilaian perlu dilakukan sama ada Cabrera sesuai dengan corak permainan yang digunakan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon atau sebaliknya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

FAM Umum Jualan ‘Tiket Kombo RM100’ Aksi Kelayakan Piala Asia 2023

Manzoor Harap Aksi Bertemu KL City Jadi Detik Kebangkitan Penang

Negeri Sembilan Kini Pendahulu Liga Super Dengan Rekod Tanpa Kalah

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group