Kehadiran pemain tengah Kuala Lumpur City, Zhafri Yahya dalam kem latihan pusat skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon nyata mendapat reaksi yang positif dari ramai pihak khususnya peminat bola sepak tanah air.

Menurut kenyataan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), nama Zhafri dipilih bagi menggantikan tempat penyerang Petaling Jaya City, Darren Lok yang terpaksa digugurkan kerana disahkan positif COVID-19.

“Darren hadir melapor diri pada Ahad, tetapi beliau didapati positif selepas ujian RTK yang dibuat ketika pemain melapor diri dan disahkan sekali lagi menerusi ujian PCR yang keputusannya diperoleh, pagi ini.

“Walaupun Darren berposisi penyerang, Zhafri disenaraikan untuk membolehkan panel jurulatih meninjau kemampuannya menyusun gerak dari penjuru bahagian tengah,” tulis kenyataan rasmi FAM.

Sebelum ini, Zhafri berada dalam senarai menunggu bersama tiga lagi rakan sepasukan iaitu Kenny Pallraj, Akram Mahinan nyata Hadin Azman dan tidak termasuk dalam senarai 30 pemain yang dipanggil oleh Pan-gon. Perkara ini nyata menimbulkan persoalan di kalangan peminat.

Zhafri Yahya
Sumber Gambar: KL City

Selepas dipanggil, tinjauan kami di laman media sosial mendapati peminat menganggap kehadiran beliau sebagai kelebihan bagi pasukan negara selepas menampilkan prestasi cemerlang bersama KL City dalam saingan liga domestik.

Zhafri membantu KL City memenangi Piala Malaysia musim lalu dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas akhir. Pemain berusia 27 tahun itu mengekalkan prestasi baiknya memasuki saingan Liga Malaysia musim 2022.

Zhafri Yahya menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan pertama musim 2022 ketika menentang Selangor dan Kedah Darul Aman dalam saingan Liga Super selain Langkawi City dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA.

Baru-baru ini, FAM mengumumkan pemain tengah JDT, Nazmi Faiz Mansor mengalami kecederaan pangkal paha dan terpaksa meninggalkan kem latihan pusat. Pengurusan pasukan kebangsaan memutuskan untuk tidak akan memanggil pemain gantian dan sebaliknya meneruskan kem latihan dengan 29 pemain sedia ada buat masa ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Piala FA 2022: Skuad Projek FAM-MSN Cipta Kejutan

Zhafri Yahya Akhirnya Dipanggil Sertai Skuad Harimau Malaya

Tolak Panggilan Skuad Kebangsaan, Tindakan Rizal Ghazali Cetus Tanda Tanya