Baru-baru ini, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon memanggil seramai 27 pemain bagi menyertai kem latihan pusat menjelang aksi persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong dan dua pemain naturalisasi negara, Paulo Josué dan Endrick dos Santos berada dalam senarai tersebut.

Ini merupakan kali pertama Paulo Josué dan Endrick dos Santos pemain dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat pasukan negara setelah kedua-dua pemain mendapat kerakyatan dan perkara ini nyata mendapat sambutan yang baik dari peminat.

Endrick setakat ini menampilkan prestasi cemerlang bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dimana beliau setakat ini menjaringkan tiga gol ketika membantu pasukan itu menewaskan Kuala Lumpur City, Negeri Sembilan dan TRW Kelantan.

Bagi Josue, setakat ini ketua pasukan KL City itu menjaringkan dua gol ketika perlawanan pembukaan menentang Penang yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2.

Josue mendapat kerakyatan pada bulan Februari lalu dimana perkara ini disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC, Stanley Bernard Samuel dalam satu wawancara bersama Astro Arena.

Sehubungan dengan itu, Endrick dan Josue mengikut jejak langkah lima pemain lain yang sebelum ini mendapat kerakyatan Malaysia hasil projek naturalisasi selepas Mohamadou Sumareh (Gambia), Liridon Krasniqi (Kosovo), Guilherme De Paula (Brazil), Lee Tuck (England) dan Sergio Aguero dari Argentina.

Paulo Josué Endrick dos Santos
Kredit Foto: Malaysian Football League (MFL)

Pemain lain yang mendapat perhatian peminat ialah pemain kacukan Malaysia dari luar negara iaitu Nooa Laine. Laine sebelum ini pernah dipanggil menjalani latihan bersama skuad bawah 23 tahun kebangsaan pada tahun lepas.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Turkmenistan pada Khamis, 23 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, 10.00 malam sebelum menentang Hong Kong bagi aksi kedua pada Selasa, 28 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, 10.00 malam.

Dua perlawanan ini dijadikan sebagai persiapan pasukan negara yang akan beraksi dalam temasya Piala Asia di Qatar pada Januari tahun hadapan.