Peminat pasukan Sabah menganggap pengadil perlawanan ketika aksi Liga Super 2023 menentang Sri Pahang semalam menjadi punca skuad itu gagal meraih kemenangan di Stadium Darul Makmur.

Saingan Liga Malaysia terus diwarnai oleh mutu pengadilam yang kurang memuaskan dimana yang terbaru ketika perlawanan antara Sabah menentang Sri Pahang.

Ketika kedudukan 1-1, Sabah melancarkan gerakan serangan dan ada salah seorang pemain mereka yang ditolak oleh pemain lawan sehingga terjatuh di dalam kotak penalti Sri Pahang.

Akan tetapi, pengadil perlawanan iaitu Noor Azriel Baharudin mahupun penjaga garisan gagal mengesan kejadian tersebut dan tidak memberikan sepakan penalti kepada Sabah.

Perkara ini nyata membangkitkan kemarahan pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee dimana beliau mempersoalkan tindakan Noor Azriel.

Tidak lama selepas itu, Kim Swee dibuang padang oleh Noor Azriel ekoran jurulatih itu membantah secara berlebihan dan perlawanan tamat dengan kedudukan 1-1.

Selepas perlawanan, Kim Swee meminta peminat untuk menilai sendiri sama ada insiden itu patut berpihak kepada kelabnya sekaligus mereka berhak untuk mendapatkan sepakan penalti.

Dalam perlawanan itu, Sabah terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi tandukan Daniel Ting yang mudah menewaskan penjaga gol tok gajah, Izham Tarmizi pada minit ke 14.

Usaha Sri Pahang untuk menyamakan kedudukan membuahkan hasil apabila Kpah Sherman menolak masuk hantaran Azrif Nasrulhaq dari sebelah kanan untuk gol penyamaan pada minit ke 26. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Kedua-dua pasukan tidak berupaya menambah gol kedua kerana masing-masing buntu dan mengalami ketumpulan jentera serangan. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sabah kini menghuni kedudukan kedua Liga Super selepas mengutip 10 mata manakala Sri Pahang berada di tangga keempat dengan 6 mata. Kedua-dua pasukan ini juga masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 4 perlawanan.