Baru-baru ini, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memanggil seramai 27 pemain untuk menyertai kem latihan pusat pasukan negara dan salah seorang pemain iaitu Sikh Izhan Nazrel nyata mencuri perhatian peminat.

Dalam senarai kali ini, Pan-gon memanggil seramai empat penjaga gol iaitu Sikh Izhan, Kalamullah Al-Hafiz, Damien Lim dan Syihan Hazmi untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong.

Ada peminat yang mempersoalkan keputusan Kim Pan-gon memanggil Sikh Izhan Nazrel selepas penjaga gol itu dibolosi tujuh gol ketika aksi antara Negeri Sembilan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Namun, peminat lain mempertahankan keputusan tersebut dengan mengatakan meskipun dibolosi tujuh gol, penjaga gol skuad B-23 tahun negara itu telah mempamerkan prestasi yang memberangsangkan, baik ketika aksi menentang JDT ataupun perlawanan sebelumnya.

Ada juga peminat yang menggesa agar Sikh Izhan diberikan peluang kerana beliau merupakan penjaga gol muda yang berpotensi dan mempunyai kualiti untuk menjadi antara penjaga gawang utama pasukan negara.

Negeri Sembilan meminjam penjaga gol Selangor itu untuk satu musim bagi menggantikan Syihan Hazmi yang menyertai JDT musim ini.

Berdasarkan senarai tersebut, Pan Gon telah mengekalkan seramai 9 daripada 23 pemain yang telah membawa skuad Harimau Malaya layak ke separuh akhir Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Januari lalu.

Lebih menarik, kem latihan pusat kali ini turut disertai oleh dua pemain naturalisasi baharu iaitu Endrick Doa Santos dan Paulo Josue yang telah menerima taraf warganegara Malaysia bulan lalu.

Turut dipanggil ialah pemain kacukan Malaysia dari luar negara iaitu Nooa Laine. Laine sebelum ini pernah dipanggil menjalani latihan bersama skuad bawah 23 tahun kebangsaan pada tahun lepas.

Sementara 13 pemain diletakkan dalam Senarai Bersedia, jika terdapat perubahan dalam senarai 27 pemain tersebut.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Turkmenistan pada Khamis, 23 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, 10.00 malam sebelum menentang Hong Kong bagi aksi kedua pada Selasa, 28 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, 10.00 malam.