Peminat pasukan Perak melahirkan kerisauan setelah skuad The Boss Gaurus mencatat lebih banyak kad merah berbanding jaringan setakat ini.

Baru-baru ini, Perak turun berdepan Sri Pahang di Stadium Perak, Ipoh dalam saingan Piala FA dan skuad bimbingan Lim Teong Kim itu sekali lagi terpaksa menamatkan permainan dengan kurang daripada 11 pemain.

Fadhil Idris dibuang padang pada separuh masa kedua setelah menerima kad kuning kedua sekaligus gagal membantu pasukannya yang tewas tipis dengan keputusan 2-1.

Menurut tinjauan Vocket FC di laman media sosial, peminat menggesa agar staf kejurulatihan membuat penelitian dan mencari faktor utama mengapa pemain muda melakukan kekasaran sekaligus dilayangkan kad oleh pengadil perlawanan.

Peminat berpendapat layangan kad merah boleh mengganggu rentak pasukan lebih-lebih lagi ketika mereka sedang mendahului pasukan lawan.

Pada perlawanan semalam, Christian Obiozor membuka tirai jaringan pada minit ke-34 selepas menerima umpanan baik daripada Shafizi berjaya melakukan percubaan tonjol untuk menewaskan Izham bagi memisahkan kedua-dua pasukan.

Memasuki minit ke-66, Perak terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Fadhil diperintahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan, Mohamad Kamil Zakaria Ismail berikutan kad kuning kedua diterimanya.

Kesempatan itu digunakan sebaiknya barisan pemain Sri Pahang yang berjaya mendapatkan jaringan penyamaan menerusi Abdul Malik Mat Ariff susulan situasi sepakan penjuru pada minit ke-81.

Tuah nyata memihak skuad Tok Gajah apabila mendapat sepakan penalti pada minit ke-95 dan peluang itu disempurnakan dengan baik Stefano Brundo untuk mengesahkan kemaraan buat Sri Pahang.

Kemenangan penting dilakarkan itu menyaksikan skuad bimbingan Fandi Ahmad akan turun bertemu pasukan Selangor di gelanggang lawan pada pusingan kedua (16 pasukan terbaik).