Peminat Perak mengambil inisiatif sendiri dalam membantu pasukan ketika dilanda krisis kewangan apabila melancarkan tabung sumbangan yang kemudiannya diberikan kepada pemain dan pegawai pasukan yang telah tiga bulan tidak menerima sebarang gaji.

Selepas perlawanan Liga Premnier menentang Kelantan pada Sabtu lalu, salah seorang wakil penyokong turun ke padang bagi memberikan hasil kutipan yang dikumpulkan hasil daripada penjualan air mineral di luar stadium dan sumbangan peminat yang hadir ke stadium pada hari tersebut.

Hasil kutipan tersebut diberikan kepada ketua pasukan, Firdaus Saiyadi untuk diagihkan kepada rakan sepasukan dan juga staf kejurulatihan. Ketua jurulatih, Yusri Che Lah turut mengucapkan terima kasih kepada peminat yang telah memberikan sumbangan.

Menurut tinjauan kami di laman media sosial, salah seorang penyokong mendedahkan kini gerakan untuk mengutip sumbangan yang diberi nama Seringgit telah berjaya mengutip sebanyak RM11 Ribu dan peminat Perak masih lagi berpeluang untuk menyalurkan sumbangan.

Sebelum ini, Badan bebas iaitu First Instance Body (FIB) memutuskan hukuman pemotongan enam mata ke atas Perak berkuatkuasa serta merta bagi saingan Liga Premier 2022 susulan kegagalan pasukan yang masih tidak menjelaskan pembayaran baki tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama dan Reserve Team berdasarkan Akuan Berkanun (15 Disember 2021) bagi semua tunggakan setakat November 2021.

“Jika dalam tempoh 7 hari dari tarikh hukuman kedua dibuat dan bukti bayaran penuh ataupun persetujuan penyelesaian bersama masih tidak diserahkan kepada MFL pada atau sebelum 21 April 2022, maka pada 22 April 2022, perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa FIB dan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

“Sehingga kini, FIB belum menerima sebarang dokumentasi daripada Perak FC untuk meyakinkan FIB mengenai kemampuan Perak FC menyelesaikan tunggakan gaji 2021 dan 2022 serta kedudukan kewangan kelab dalam mengharungi baki saingan liga bagi musim 2022,” kata Sheikh Mohd Nasir yang mempengerusikan Mesyuarat FIB Pelesenan Kelab MFL.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Dickson Nwakaeme: Sri Pahang Perlukan Pemain Yang Layak, Pengurusan Perlu Lebih Tahu

Tiga Perlawanan Tanpa Kemenangan, Dollah Bakal Kembali Latih Sri Pahang?

Faiz Nasir Dikejarkan Ke Unit Rawatan Rapi