Penyokong Real Madrid telah mengkritik prestasi Karim Benzema ketika kekalahan memalukan di tangan Manchester City.

Karim Benzema dianggap ‘hilang’ ketika pasukannya dibelasah di Etihad. Pemenang Ballon d’Or itu juga dikritik kerana malas bertahan.

Manchester City cemerlang menewaskan Real Madrid 4-0 dalam aksi kedua separuh akhir Liga Juara-juara Eropah 2022/23.

Dua gol daripada Bernardo Silva serta gol sendiri oleh Eder Militao serta satu gol Julian Alvarez membuatkan Real Madrid gagal mempertahankan kejuaraan UCL milik mereka.

Di media sosial, ramai peminat mengecam Karim Benzema. Benzema bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaiknya seperti musim lalu.

Harus diakui dia juga bergelut kerana masalah kecederaan. Kini dia di belakang Robert Lewandowski dalam persaingan Pichichi.

Ada yang akur bahawa musim ini Benzema sangat teruk. Dan berharap kelab akan mencari penyerang no.9 yang baharu. Memandangkan Benzema sudah menunjukkan tanda tanda penurunan prestasi kerana faktor usia.

Peminat sangat terkejut dengan prestasi Benzema di Etihad yang sangat jauh daripada apa yang mereka harapkan daripada kapten itu.

Mereka juga risau masa depan kelab dalam bahaya jika berterusan bergantung kepada penyerang veteran itu.

Seorang lagi peminat turut memberikan komen tentang prestasi Karim Benzema, dengan berkata: “Terima kasih di atas segala jasa kamu Karim Benzema, namun masanya telah tiba untuk kamu angkat kaki sebagai seorang yang hebat atau kekal di sini dan mati menjadi musuh kami.”

Real Madrid sebelum ini memburu beberapa nama penyerang untuk menggantikan Karim Benzema. Antaranya Erling Haaland dan juga Kylian Mbappe.

Namun usaha itu gagal. Sebelum ini Benzema pernah memberitahu kelab dia tidak mahu kelab itu mencari penyerang no.9 menggantikannya kerana dia mahu kekal menjadi pemain kesebelasan utama. Dia hanya menerima jika kelab mencari pemain yang menjadi sandaran kepadanya.

Tetapi Benzema menyokong idea mendapatkan Mbappe kerana pemain itu boleh bermain di bahagian sayap dan bergandingan dengannya.

Adakah ini hanyalah ‘satu musim suram’ buat Benzema ataupun musim yang menjadi petanda bahawa dia harus digantikan?

Walau apapun yang akan berlaku, Benzema tetap akan dikenang sebagai legenda Real Madrid.