Peminat bola sepak India berang kerana pasukan itu tidak dijemput untuk menyertai kejohanan Pesta Bola Merdeka yang dijangka membuat kemunculan semula pada tahun ini.

Menurut perkongsian Asean Football di laman media sosial Twitter, ada empat negara iaitu Vietnam, Thailand, Palestine dan Syria yang berada dalam senarai pendek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dijemput bagi menyertai saingan edisi kali ini.

Perkara ini nyata membangkitkan kemarahan peminat India dimana pasukan negara mereka tidak berada dalam senarai tersebut dimana ada dikalangan yang mendakwa FA India yang memberikan idea mengenai kejohanan tersebut.

Oleh itu, mereka mahu agar negara dari Asia Selatan itu dijemput dan menggesa agar FAM supaya tidak menjadi kacang lupakan kulit.

https://twitter.com/yourtrulymed/status/1616007046809407495?s=46&t=N2BkAr84y9W0iJWvfwXdWA

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed memberi bayangan kejohanan tersebut akan kembali mewarnai saingan bola sepak tempatan.

“Sebenarnya perancangan untuk menganjurkan semula Pesta bola Merdeka sudah lama difikirkan tetapi ia terhenti seketika kerana pandemik Covid-19 selama dua tahun.

“Tapi selepas ini ia akan dibincangkan semula bersama Presiden sebab kita mahu momentum skuad negara yang layak ke Piala Asia dapat diteruskan. Maka di situ memang ada keperluan untuk mengembalikan semula penganjuran Pestabola Merdeka.

“Saya fikir aksi persahabatan sahaja tidak mencukupi kerana aura pertandingan adalah lebih baik buat skuad negara sebelum beraksi di Piala Asia,” katanya.

Pesta Bola Merdeka merupakan sebuah kejohanan bola sepak tahunan yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia. Kejohanan ini telah bermula sejak tahun 1957 dan merupakan kejohanan bola sepak jemputan yang tertua di Asia.

Semasa 1950-an dan awal 1980-an, ia merupakan satu kejohanan berprestij di kalangan negara-negara Asia kerana para peserta menghantar pemain skuad utama mereka.

Kali terakhir kejohanan ini dilangsungkan ialah pada 2013 yang mana skuad B-23 Tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya muncul juara dengan menewaskan Myanmar pada perlawanan akhir dengan keputusan 2-0 menerusi jaringan Rozaimi Abdul Rahman dan Junior Eldstal.