Status Lee Zii Jia selaku pemain nombor dua dunia pada ketika ini dilihat bukanlah perkara yang membuatkan segelintir peminat badminton tanah air teruja dengan perkembangan tersebut.

Hal ini kerana buat kali kedua berturut-turut pemain berusia 24 tahun itu tersingkir awal daripada persaingan Terbuka Malaysia (Super 1000) dan Terbuka India (Super 750).

Selepas kecewa di laman sendiri pada pusingan 32 di tangan Kodai Naraoka minggu lalu, Zii Jia kemudiannya ditumpaskan oleh seorang lagi pemain muda, Li Shi Feng di pusingan 16.

Aksi bertemu Shi Feng awal pagi tadi menyaksikan Zii Jia kerap melakukan kesilapan mudah terutamanya pukulan-pukulan yang terus ke arah jaring (net).

Meskipun ramai yang tetap memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada juara Asia itu, masih terdapat peminat mahukan perubahan dilakukan Zii Jia terutamanya dengan mengambil jurulatih buatnya.

Ketika tinjauan dibuat di laman Twitter rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), rata-rata peminat yang tidak berpuas hati dengan kekalahan di India itu mahu Lee Zii Jia melakukan perubahan daripada pelbagai aspek.

Selepas sah keluar daripada BAM pada 19 Januari 2022 untuk bergerak secara profesional, Lee Zii Jia kemudiannya mengumumkan Indra Widjaja sebagai jurulatih yang akan bersamanya.

Bagaimanapun tidak sampai setahun (27 November 2022), jodoh mereka berakhir apabila Lee Zii Jia memilih untuk bergerak tanpa jurulatih.

Malah, Zii Jia turut mempertahankan keputusan tersebut dengan mengatakan itu pilihan yang telah dibuat serta perlu ditanggung olehnya. Sehubungan dengan itu beliau juga mengakui tidak akan menyesal dengan keputusan tersebut.