Syarikat penganalisis data terkemuka dunia, Nielsen baru-baru ini mendedahkan peminat dari Malaysia berada di ranking ke-7 Asia menerusi satu kajian mengenai tahap fanatik dalam sukan bola sepak sempena Piala Dunia 2022 yang akan datang.

Laporan kajian yang bertajuk The 2022 World Football Report mendapati Asia Tenggara merupakan kawasan yang paling ramai mempunyai peminat fanatik dalam bola sepak.

Lebih mengejutkan, Vietnam dengan populasi sebanyak 75% berada di ranking nombor 1 sebagai peminat bola sepak paling fanatik di Asia mengatasi Indonesia di ranking ke-3 dengan hanya 69% populasi sahaja meminati sukan itu.

Peningkatan tahap fanatik dalam kalangan warga Vietnam itu mungkin dibantu oleh aura pasukan kebangsaan mereka dibawah kendalian Park Hang-seo sehingga berjaya meraih beberapa kejayaan di peringkat Asia.

Sumber data: Nielsen

Manakala UAE pula merupakan satu-satunya negara dari Asia Barat yang mempunyai peminat bola sepak paling fanatik di belakang Vietnam dengan populasi sebanyak 70%.

Selain UAE, satu lagi negara dari Asia Barat, Arab Saudi juga berada di ranking ke-4 paling fanatik di Asia dengan populasi sebanyak 65%.

Kajian daripada Nielsen turut membuktikan 53% populasi di Malaysia lebih fanatik dalam sukan bola sepak berbanding penyokong dari negara yang kerap ke Piala Dunia iaitu Korea Selatan dan Jepun.

Walaupun Jepun memiliki liga domestik yang terbaik di Asia namun tahap fanatik mereka terendah dalam kalangan 10 negara di Asia dengan hanya 28% daripada populasi negara itu meminati sukan bola sepak. Baseball adalah sukan nombor 1 di Jepun.

Tiga lagi negara Asia Tenggara yang turut berada dalam senarai 10 paling fanatik di Asia adalah Thailand (58%), Singapura (43%) dan juga Filipina (35%).

Maka, tidak hairanlah kelab-kelab ternama eropah seperti Manchester United, Arsenal, Liverpool dan Borussia Dortmund sering melakukan kunjungan ke Asia Tenggara setiap tahun kerana memiliki jumlah peminat yang lebih ramai di rantau itu.