Bapa kepada pemain kacukan negara, Jaami Qureshi iaitu Perviz Qureshi sekali lagi menjadi perbincangan di kalangan peminat bola sepak tanah air apabila baru-baru ini beliau mengkritik tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang enggan berjumpa dengannya ketika lawatannya ke Wisma FAM pada 16 Jun lalu.

Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Perviz menuduh Datuk Hamidin tidak menghormatinya dan enggan untuk bertemu dengan anaknya selain tidak memperkenalkan Jaami kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan iaitu Kim Pan-gon.

Perkara ini nyata membangkitkan kemarahan peminat dimana mereka menilai Jaami sebagai seorang pemain terlalu ‘diva’ dan mahu dilayan seperti seorang bintang walhal beliau hanya seorang pemain muda yang beraksi di akademi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).

Peminat juga menggesa agar FAM tidak melayan segala permintaan Perviz Qureshi mengenai anaknya dan lebih fokus kepada pemain muda yang beraksi dalam Liga Malaysia ketika ini. Bahkan, ada peminat yang membandingkan sikap Jaami dengan seorang lagi pemain kacukan, Dion Cools yang menunjukkan komitmen penuh bagi beraksi bersama Malaysia dimana Dion sanggup untuk mengikuti segala peraturan bagi membolehkannya beraksi bersama pasukan negara.

Dalam satu temu bual, Jaami menegaskan beliau tidak akan memohon pasport Malaysia yang menjadi keperluan sekiranya beliau mahu beraksi bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa kerana enggan melepaskan pasport British yang dipegangnya ketika ini.

“Saya memilih untuk kekal di England buat masa ini dan tidak akan memohon pasport Malaysia untuk bergelar pemain tempatan. Saya lihat ramai peminat Malaysia gembira dengan pencapaian saya di sana kerana tidak ramai pemain Malaysia bermain di England. Jadi sebagai pemain berdarah kacukan Malaysia, saya juga bangga,” katanya dalam satu temu bual bersama Harian Metro.

Perundangan negara pula jelas menyatakan bahawa seorang warganegara Malaysia tidak boleh memiliki dua pasport atau dwi kewarganegaraan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Hujan Lebat Landa Aksi Terengganu – Negeri Sembilan, Penyokong Sempat Mandi Dalam ‘Kolam’

Jordi Amat Kongsikan Sebab Mengapa Beliau Sertai Johor Darul Ta’zim

Saddil Tak Sangka Gerakan Lincah Berjaya Tembusi Gawang Selangor