Pemilik kelab bola sepak Petaling Jaya City (PJ City FC), Dato Sri Vijay Eswaran memahami keluhan jurulatih skuad kebangsaan yang tidak mempunyai penyerang tempatan berkualiti kerana kebanyakan pasukan Liga Super lebih mengutamakan pemain import di posisi tersebut.

Justeru itu, beliau terfikirkan idea untuk membarisi pemain tempatan sepenuhnya tanpa kelibat pemain import dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Langkah itu juga memberi kelebihan kepada PJ City untuk menjimatkan kos operasi pasukan susulan penularan wabak pandemik COVID-19 yang tidak menentu ketika ini.

“Malaysia telah menghasilkan pemain berkelas dunia ketika tahun 1970 dulu. Tak perlu bantuan pemain import ketika itu.

“Dan ketika pemain import dilarang beraksi dalam Liga Malaysia pada tahun 2009, kita juga telah memenangi pingat emas sukan SEA dan juga Piala AFF 2010. Kualiti bola sepak Malaysia meningkat ketika tiada pemain import.

“Kami juga sedang ke arah itu. Kami akan menggunakan khidmat pemain tempatan. Kami perlu mengambil risiko tetapi jika tak beri peluang, siapa lagi akan beri?

“Percaya dengan bakat anak Malaysia. Yakinlah dengan pemain tempatan,” katanya dipetik dalam New Straits Times.

70376906_754638314969481_410560643993698304_n
FOTO: PJ CIty FC

Vijay turut mengumumkan bekas jurulatih skuad bawah 16 tahun kebangsaan, P. Maniam sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan tempat K. Devan yang kembali menyertai Negeri Sembilan.

Bekas jurulatih akademi remaja Manchester City Steven Jackson, turut menyertai PJ City sebagai jurulatih program akar umbi dengan kontrak dua tahun (satu tahun dengan pilihan tambahan satu tahun lagi) untuk membangunkan dan membimbing lebih ramai pemain muda daripada skuad pembangunan pasukan itu, iaitu pemain dari Piala Presiden dan Piala Remaja.

“Walaupun kami membayar pemain import dengan gaji tertinggi, ia tidak akan menjamin kemenangan untuk pasukan kami. Kami percaya dengan kerja kuat dan latihan yang betul serta displin yang bagus, ia akan membantu kami untuk membangunkan pasukan kami,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah:

RASMI: Irfan Bakti Sah Jurulatih Baharu Kuching City

Yusri Che Lah Terima Tawaran Bimbing Skuad Pelapis Ala Harimau Muda

K. Devan Mahu Bawa Negeri Sembilan Kembali Ke Liga Super 2022