Baru-baru ini, pengurusan FELDA United FC (FUFC) mengumumkan keputusan untuk tarik diri daripada menyertai Liga Super ataupun Liga Premier mulai musim depan.

Keputusan itu terpaksa dibuat bagi mengawal perbelanjaan serta memastikan penyelarasan program sukan yang dirancang serta dilaksanakan lebih patuh kepada garis panduan pengurusan pentadbiran, prosedur perolehan, pengurusan kewangan serta penilaian risiko.

16 kakitangan FUFC juga bakal menerima bayaran pampasan selepas mereka diberi notis penamatan perkhidmatan pada bulan lepas. Antara kakitangan tersebut ialah Setiausaha Agung FUFC, Afizal Abu Othman.

Afizal menyatakan pihaknya sedang menyelamatkan pasukan itu dan kemungkinan akan terus bertanding dalam Liga Malaysia musim depan dengan menggunakan nama baharu.

Menurut kenyataannya dalam New Straits Times, satu perbincangan dengan pelabur baharu akan diadakan dalam masa terdekat untuk menentukan nasib pasukan itu.

“Saya bersyukur MFL dan FAM bekerja keras untuk membantu kami menghalang pasukan daripada tutup kedai.

“Kami akan mencari (pelabur) selewat-lewatnya pada akhir minggu depan kerana kami perlu melakukannya sebelum tarikh akhir 19 Oktober,” jelas Afizal.

Felda United
Afizal Abu Othman. Sumber Gambar: MFL

Bagaimanapun, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pemilik baharu nanti untuk menentukan nasib pemain sama ada mereka akan dikekalkan atau dilepaskan ke pasukan lain.

“Kami belum maklumkan kepada pemain atau jurulatih mengenai apa-apa lagi kerana mereka masih berada dibawah FELDA United sehingga november. Ia bergantung kepada pemilik baru.

“Secara jujurnya, kami mahu menyelamatkan anak-anak Felda kerana mereka masih muda, masih baru dalam dunia bola sepak.

“Bola sepak adalah masa depan mereka, pendapatan mereka. Kemana mereka mahu pergi? Ini melibatkan 130 pemain daripada skuad Piala Presiden sehingga pasukan utama,” katanya.

Skuad kendalian Nidzam Jamil itu kini menghuni kedudukan kedua tercorot CIMB Liga Super 2020. Antara pencapaian terbaik FELDA United sepanjang beraksi dalam Liga Malaysia ialah naib juara Liga Super 2016 dan juara Liga Premier sebanyak dua kali pada tahun 2010 serta 2018.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Pulau Pinang Tamatkan Penantian 7 Tahun Selepas Bergelar Juara Liga Premier 2020

IG Story Eyka Farhana Dedahkan Kehadiran ‘Penyokong’ Ke Stadium, MFL Wajib Tampil Beri Penjelasan

Kedah Guna Nama Darulaman FC (DFC), Rekaan Logo Baharu Pasukan Bakal Cetus Kontroversi Dari Peminat