Penyerang import pasukan UKM FC, Michael Ijezie dikhabarkan semakin hampir untuk menjadi pemain naturalisasi kedua negara sekaligus membolehkan beliau beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Segala dokumen berkaitan proses naturalisasi Michael sudah berada dalam genggaman Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan kini hanya menunggu kelulusan daripada FAM bagi perkara ini dibawa ke pengetahuan kerajaan Malaysia.

Michael Ijezie
Sumber Gambar: UKM FC

“Buat masa sekarang saya hanya fokus kepada bola sepak dan tidak mahu terlalu memikirkan soal itu. Saya juga mahu baiki kelemahan untuk jadi lebih baik.

“Saya masih tunggu tetapi ianya boleh dikatakan positif. Jika lulus, sudah pasti saya mahu bermain (bersama skuad Harimau Malaya),” katanya menurut laporan Berita Harian.

Namun, pemilihan Michael mendapat kritikan daripada sesetengah pihak khususnya peminat dimana mereka berpendapat ada penyerang yang lebih layak bagi dijadikan pemain naturalisasi selain Ijezie.

Sebelum ini, nama penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula berada dalam senarai pendek untuk dijadikan sebagai pemain naturalisasi seterusnya. Namun, sehingga saat ini, masih tiada perkhabaran yang jelas mengenai status Guilherme.