Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pasukan kebangsaan akan diperkuatkan oleh seorang lagi pemain naturalisasi selepas Mohamadou Sumareh.

Nama pemain tengah Melaka United, Liridon Krasniqi dikatakan menjadi pilihan utama FAM untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023. Namun, pemilihan Liridon mendapat tentangan daripada sebahagian besar peminat bola sepak tanah air.

Liridon Krasniqi
Sumber Gambar: MUSA

Rata-rata peminat tidak mahu Liridon beraksi bersama pasukan negara kerana menganggap pemain itu mempunyai sikap seperti seorang “diva” dan hanya menjadi penumpang dalam skuad kebangsaan.

Sebelum ini, tindakan Liridon yang menggelar dirinya sebagai legenda Kedah mendapat kritikan ramai pihak termasuk Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Menurut TMJ, hanya Baddrol Bakhtiar sahaja yang layak untuk digelar sebagai legenda skuad Hijau Kuning.

Selain menggelar diri beliau sebagai legenda Kedah, Liridon juga pernah bergaduh dengan rakan sepasukan ketika bermain bersama Kedah iaitu Syazwan Zainon. Tidak cukup dengan itu, pemain dari Kosovo ini pernah menggelar Nidzam Adha Yusoff sebagai “pengecut”.

Nidzam Adha Yusoff

Apa yang pasti, FAM perlu mempertimbangkan semua perkara jika mereka tetap dengan pendirian dengan mengambil khidmat Liridon Krasniqi untuk membarisi pasukan kebangsaan. Kehadiran pemain muda yang beraksi bersama pasukan negara juga perlu diambil kira bagi memastikan mereka tidak disisihkan.