Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa menyifatkan juara tujuh musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak boleh terlalu yakin untuk sekali lagi mengecap nikmat selaku pemenang liga paling berprestij tanah air itu.

Hal ini kerana beliau melihat saingan pada musim ini cukup sengit dengan melihatkan kepada jurang mata pada ketika ini melibatkan JDT, Terengganu dan Kedah Darul Aman (KDA).

Skuad bimbingan Benjamin Mora itu mengumpul 30 mata selepas mengharungi 13 perlawanan liga dan mereka hanya berkelebihan tiga mata di belakang Terengganu manakala KDA pula di tangga ketiga dengan 26 mata.

Keadaan yang jelas menunjukkan saingan liga pada musim ini lebih menarik untuk disaksikan berikutan tentangan hebat diberikan dua pasukan tersebut bagi memastikan skuad Harimau Selatan itu tidak diberikan laluan mudah.

Kenyataan Mohd Sadek yang juga merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu juga adalah menjawab keyakinan bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh bahawa JDT akan sekali lagi dinobatkan selaku juara Liga Super musim ini.

“Ada lagi sembilan permainan, apa saja boleh berlaku. Pahang nampak ada perubahan dan rentak permainan JDT pun tak stabil juga, maksudnya pasukan lain boleh melawan mereka dan susah untuk JDT menang,” ujar Mohd Sadek memetik sumber daripada BH Sukan.

“Kalau pasukan lain boleh mengekang JDT daripada meraih kemenangan, peluang merebut kejuaraan akan terbuka.”

“Tapi pada masa sama, pencabar kejuaraan yang lain seperti TFC dan KDA mesti konsisten yang mana mereka tak boleh kalah dalam sembilan perlawanan terakhir.”

“Saya rasa JDT tahun ini tak boleh terlalu yakin, mereka ada beberapa pencabar. Malah, perbezaan mata mereka juga tidak jauh dengan pasukan lain dan jika seri dua kali, mereka sudah boleh dikejar pasukan lain,” tambah Mohd Sadek lagi.

Sumber