Beberapa ahli pemegang taruh Liga Malaysia menzahirkan sokongan terbuka terhadap pendekatan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mahu melakukan penstrukturan semula hak penyiaran bagi atasi kebergantungan sepenuhnya kepada penaja atau penyiar utama.

Pengurus PDRM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar melihat cara itu merupakan yang sebaiknya kepada MFL dalam usaha meningkatkan lagi nilai pasaran Liga Malaysia ke arah lebih optimum dengan adanya kehadiran pelabur.

Malah, perbezaan kaedah MFL ini dijangka menguntungkan kedua-dua pihak iaitu antara MFL dan pihak pelabur bagi tempoh masa jangka panjang.

Kamarul Ariffin
Sumber Gambar: MFL

“Saya menyokong sepenuhnya mekanisma MFL yang gunakan pendekatan mahu menarik pelabur berbanding mendapatkan penaja utama yang diamalkan sejak dahulu.

“Sampai bila kita hendak dapatkan tajaan sahaja tetapi tidak beri keuntungan kepada mana-mana pihak, bagi sahaja untuk tempoh tertentu, pasti akan habis begitu sahaja.

“Lebih baik gunakan cara sebegini, pelabur yang masuk mesti mahukan keuntungan dan ini sudah tentu mereka akan sedaya upaya tingkatkan nilai Liga Malaysia ke tahap lebih tinggi.

“Jika berjaya, saya menyeru MFL juga memberi tunjuk ajar kepada kami seperti pasukan PDRM dalam usaha menarik pihak luar melakukan pelaburan, ” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur(KLFA), Nokman Mustaffa, turut senada dengan hasrat PDRM sambil mengharapkan langkah penstrukturan ini akan berjaya sepenuhnya.

Jelasnya, keberanian MFL dalam membuka ruang kepada pelabur ini perlu diikuti oleh semua rakan kongsi dalam aspek pengurusan selepas ini jika mahu tingkatkan nilai komersial pasukan.

Nokman Mustaffa
Sumber Gambar: Stadium Astro

“Cara MFL ini akan jadi kayu ukur kepada semua rakan kongsi pada masa depan terutama dalam memahami bagaimana cara pelabur masuk ke dalam tiap pasukan.

“Sebelum ini, hampir semua pasukan sentiasa disokong kerajaan negeri dan sukar buka ruang kepada pelabur luar namun apabila MFL ambil langkah sebegini, saya yakin ramai pihak akan buka mata ia mampu dilakukan

“Saya optimis langkah penstrukturan ini mampu berjaya jika caranya betul serta dapat sokongan semua pihak, ” katanya.