Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membatalkan saingan Piala Belia dan Piala Presiden musim ini nyata mendapat reaksi yang kurang senang dari peminat bola sepak tanah air.

Menurut kenyataan FAM, faktor utama mengapa dua saingan ini dibatalkan ialah kerana mereka mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19, hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penganjuran kedua-dua pertandingan ini.

Keputusan ini juga diambil selaras dengan status penganjuran kedua-dua pertandingan tersebut yang sehingga kini masih belum mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ramai pihak berpendapat bahawa situasi pandemik COVID-19 dalam negara bukanlah satu perkara yang baru dan FAM selaku badan induk perlu lebih bersedia dan lebih bijak untuk mengadakan pertandingan dalam situasi pandemik dan bukan terus mengambil keputusan untuk membatalkan dua pertandingan yang menjadi medan untuk pemain muda beraksi.

Antara kaedah yang boleh digunakan ialah sport bubble dan mengadakan pertandingan dalam format karnival dimana semua pasukan bertanding dikumpulkan di satu tempat serta ujian swab perlu dilakukan dengan kerap sebagai langkah pencegahan.

Sudah dua musim saingan Piala Belia dan Piala Presiden tidak dapat dijalankan dan perkara ini nyata memberi impak yang cukup besar khususnya terhadap pembangunan dan perkembangan pemain muda negara. Selain itu, tahap kesihatan mental pemain turut terjejas ekoran tiada aksi kompetitif sejak tahun lalu.

Kejohanan di peringkat akar umbi amat penting kepada pembangunan bola sepak negara kerana pemain muda ini yang akan menggantikan generasi sedia ada untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Keyakinan Sean Giannelli Meningkat Selepas Ledak Tiga Gol Bersama UiTM FC

Perak Berjaya Selesaikan Beberapa Isu Berhubung Tuntutan Gaji

Alif Mutalib Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Fasa 1 Skuad B-20 Tahun