Pembantu jurulatih kepada pengendali baharu skuad kebangsaan, Kim Pan-gon akan diumumkan pada Khamis ini seiring dengan barisan staf kejurulatihan di bawah kendalian jurulatih dari Korea Selatan itu.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fina nasrom dimana selain mengumumkan staf kejurulatihan pasukan kebangsaan, Pan-gon juga akan diperkenalkan secara rasmi sebagai pengendali baharu.

Isu mengenai pembantu kepada Kim Pan-gon ini hangat diperkatakan selepas bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong itu dilantik bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletak jawatan ekoran prestasi hambar pasukan negara dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020.

Beberapa nama jurulatih tempatan seperti bekas ketua jurulatih Selangor, Sri Pahang dan Melaka United, Zainal Abidin Hassan selain E.Elavarasan dan pembantu jurulatih Penang, Manzoor Azwira dikaitkan dengan jawatan sebagai pembantu namun tiada sebarang pengesahan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mana-mana jurulatih tempatan yang bakal dilantik sebagai pembantu kepada Pan-gon akan mempunyai tanggungjawab besar dalam membantu jurulatih dari Korea Selatan itu memahami saingan serta budaya bola sepak negara.

Selain itu, jurulatih yang dilantik juga perlu membantu Pan-gon memanggil pemain terbaik yang akan membawa cabaran negara dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung pada Jun ini.

Nama yang berkemungkinan besar berada dalam staf kejurulatihan pasukan negara ialah Pau Marti Vicente ketika ini menjawat sebagai penolong jurulatih dalam skuad B-18 tahun kelab La Liga iaitu Barcelona.

Vicente menjadi pembantu jurulatih bagi skuad B-18 tahun Barcelona sejak 2017 dan beliau pernah diberi tanggungjawab untuk menjadi pembantu jurulatih skuad B-19 tahun dan Barcelona B.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Safee Sali Gesa Kim Pan-gon Segera Fahami Budaya Bola Sepak Malaysia

Aiman Afif Dilantik Sebagai Ketua Pasukan Skuad B-23 Tahun Negara

Daniel Ting Mungkin Tamatkan Kontrak Bersama Kuala Lumpur City