Kapten pasukan Liga Premier, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC, Asnan Ahmad mengesahkan para pemain kelab tersebut telah menyatakan persetujuan mereka untuk memotong gaji demi kebaikan pasukan susulan penularan wabak COVID-19.

Pengurusan UKM FC bakal melaksanakan pemotongan gaji antara 15 hingga 20 peratus bermula bulan depan sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

“Kami memang sudah dimaklumkan mengenai pemotongan gaji tersebut, dan selepas ini perbincangan lebih mendalam akan dilakukan lagi untuk kami sama-sama dapat mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Apa pun, saya memang mengharapkan apa jua keputusan adalah demi kebaikan untuk kedua-dua pihak apatah lagi dalam tempoh yang mencabar ini bagi menghadapi wabak COVID-19,” kata Asnan.

Wabak pandemik yang melanda seluruh dunia ketika ini memberi kesan kepada perjalanan Liga Malaysia sekaligus menjejaskan kantung kewangan pasukan untuk membayar gaji pemain.

Beberapa pasukan terpaksa mempertimbangkan untuk memotong gaji pemain berikutan kesukaran syarikat penaja untuk terus memberi penajaan kerana ekonomi yang merudum ditambah pula dengan ketiadaan pendapatan dari segi kutipan tiket sejak Liga Malaysia ditangguhkan.

Perkembangan itu turut diakui oleh Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd Fairus Shafie yang menjelaskan langkah pemotongan gaji terpaksa diambil susulan masalah kewangan dialami pihak pengurusan.

“Gaji pemain untuk bulan Mac telah dilangsaikan dan bagi bulan April, kami telah beritahu langkah pemotongan terpaksa diambil, rata-rata pemain menerima keadaan ini memandangkan liga masih ditangguhkan.

“Hanya maksimum 20 peratus pemotongan gaji kami akan kenakan dan 15 peratus pula kepada pemain-pemain yang bergaji rendah, langkah ini akan diteruskan sehingga tempoh PKP berakhir dan tertakluk kepada perbincangan kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Beliau pada masa sama turut merakamkan penghargaan kepada pemain pasukan berkenaan yang bersetuju dengan pemotongan gaji itu demi kelangsungan pasukan dalam kancah bola sepak tempatan.

Baca artikel lain mengenai isu pemotongan gaji pemain bola sepak melalui pautan dibawah.

FAM Pertimbangkan Untuk Memperkenalkan Klausa ‘Force Majeure’ Dalam Kontrak Pemain

“Daripada Satu Sudut, Pemain Mungkin Bimbang Kelab Mencari Alasan Untuk Tidak Membayar Gaji Penuh”

Tiada Perlawanan Menyebabkan KAFA ‘Hilang’ RM100,000 Setiap Perlawanan, Pemain Mungkin Dipotong gaji