Beberapa pemain senior dalam pasukan Tottenham dilaporkan mahu Mauricio Pochettino kembali menjadi pengurus mereka.

Spurs kini dalam pencarian pengurus baharu. Ini selepas kelab itu dilaporkan sedang dalam proses memecat Antonio Conte.

Conte dan Spurs tidak sehaluan terutama sekali selepas komen pengurus asal Itali itu baru baru ini.

Di mana Conte mengkritik mentaliti pemain pemain Spurs yang menurutnya lemah dan menjadi sebab kenapa kelab itu tidak menang apa apa trofi dalam masa 20 tahun.

Beberapa nama sudah pun mulai dikaitkan dengan jawatan di London itu. Antaranya Mauricio Pochettino, Luis Enrique, Thomas Tuchel dan Roberto De Zerbi.

Beberapa pemain dan pegawai pasukan Spurs dikatakan sudah pun menghubungi Pochettino, memujuk agar pengurus itu kembali semula ke Spurs.

Sebelum ini, Pochettino pernah cuba kembali ke Spurs kerana masih lagi sayangkan kelab itu.

Selain itu dia dan keluarganya sukakan kehidupan di rumah mereka di London.

Tetapi kepulangan semula itu gagal kerana Spurs memilih Jose Mourinho dan kemudian melantik Antonio Conte.

The Guardian melaporkan bahawa pengurus asal Argentina itu awalnya tidak berminat dengan jawatan di Spurs pada masa ini. Namun Sky Sports pula menyatakan bahawa Pochettino sedia mempertimbangkan jawatan di Tottenham itu.

Penyokong Spurs sentiasa menyukai dan menyayangi Pochettino. Ketika kelab berdepan dengan kawalan perbelanjaan oleh Levy, pengurus itu tetat mampu membawa mereka mara ke final UCL pertama di dalam sejarah kelab.

Mereka berpendapat bahawa Pochettino ketika itu dilayan tidak adil oleh Levy. Di mana dia tidak diberikan dana untuk membeli pemain dan berdepan kesukaran melanjutkan kontrak pemain kerana siling gaji ditetapkan kelab.

Tottenham dijangka akan mengumumkan pemecatan Antonio Conte dalam beberapa hari ini. Pengurus itu sebenarnya sudah beberapa kali membuat kenyataan kontroversi tentang polisi kelab tersebut.

Namun Daniel Levy tetap memberikan sokongan kepadanya. Conte sebelum ini pernah mengamuk kerana Levy campur tangan dalam isu jual beli pemain di Spurs.

Apa yang pasti, Spurs mahu bertindak segera melantik pengurus baharu dalam memastikan mereka kekal bersaing untuk slot UCL musim hadapan.