Dua wakil negara, Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Terengganu FC (TFC) dijadualkan menghadapi saingan AFC Cup Zon Asean di Singapura pada bulan depan.

KDA berada dalam Kumpulan H bersama kelab Liga gergasi Singapura, Lion City Sailors dan wakil Vietnam, Saigon FC. Satu lagi lawan mereka diisi oleh kelab Indonesia, Persipura Jayapura.

Manakala TFC pula berada dalam Kumpulan I bersama naib juara Liga Filipina, Kaya FC-Iloilo serta satu lagi pasukan dari Singapura, Geylang International. Bagaimanapun, wakil dari Myanmar telah menarik diri dan bakal digantikan oleh kelab Kemboja atau Laos.

Namun begitu, timbul persoalan dalam kalangan peminat Terengganu mengenai status vaksinasi pasukan kesayangan mereka kerana KDA sudah pun menerima suntikan vaksin lebih awal sejak bulan lepas bagi mengelakkan dijangkiti simptom COVID-19.

Mereka kini boleh menarik nafas lega apabila laporan daripada Berita Harian hari ini mengesahkan para pemain dan pegawai TFC akan menerima suntikan vaksin Ahad ini sebelum menjalani latihan secara berpusat mengikut SOP yang ditetapkan.

Pengurusnya, Zulfadli Rozi berkata, TFC akan mematuhi saranan MFL yang hanya membenarkan latihan secara ‘camp based traning’ seperti diumumkan badan pengelola itu.

“Persiapan TFC setakat ini berjalan lancar sebagai persediaan untuk menghadapi saingan Piala AFC itu, lagipun kita sudah diberi taklimat mengenai saingan itu yang dijadualkan bulan depan.

“Bagi memastikan semua pemain dan pegawai selamat, kami akan sentiasa mengikuti perkembangan semasa dalam dan luar negara bagi meneruskan baki saingan Liga Malaysia (Liga M) selain Piala AFC,” katanya.

Latihan Pra-Musim

Selain KDA dan TFC, juara Liga Super 7 kali, JDT turut akan menghadapi saingan AFC Champions League di Thailand.

Aksi 3 pasukan dari Malaysia dalam kejohananan kelab AFC musim 2021 ini adalah amat penting kerana kutipan mata AFC MA ranking bakal menentukan slot untuk pasukan kita dalam kejohanan AFC Champions League musim akan datang.

Pada kedudukan semasa, Malaysia berada pada kedudukan ke 11 AFC MA ranking Asia Timur dengan 20.141 mata. Sekiranya kedudukan ini kekal sehingga tamat musim 2021, kita akan kehilangan 1 slot automatik peringkat kumpulan AFC Champions League dan hanya akan menerima 1 slot dipusingan kelayakan play-off sahaja.

Semoga pasukan JDT, Kedah dan Terengganu akan mempamerkan aksi terbaik untuk kebaikan bola sepak Malaysia diperingkat Asia!

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Datuk Seri Vida Bakal Jadi Pemilik Perak FC?

RASMI: Sri Pahang Umum Lee Tuck Dipinjamkan Ke Terengganu, Akan Kembali Semula Musim Hadapan

CEO Melaka United Letak Jawatan, Zainal Abidin Kekal Sebagai Jurulatih

Sarawak United Sanggup Lepaskan Sandro Da Silva Secara Percuma