Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menasihati pemain tempatan supaya tidak berasa terpinggir dengan kehadiran ramai pemain kacukan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kelihatan akan terus memberikan peluang kepada pemain kacukan untuk membarisi skuad kebangsaan.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menegaskan pihaknya tidak menutup pintu buat para pemain kacukan yang berkualiti untuk dinilai barisan jurulatih bagi memperkuatkan skuad kebangsaan.

Menurut sumber BH Sukan, Serbegeth mengakui beliau menyokong penuh usaha membawa masuk pemain kacukan sekiranya pemain tersebut benar-benar berkualiti.

Tetapi beliau jelas tidak menyokong inisiatif FAM untuk memberikan kerakyatan menerusi idea projek naturalisasi bagi seseorang pemain import dalam Liga Malaysia.

“Untuk berdarah kacukan ini, walaupun ada setitis darah Malaysia sekalipun saya memang sokong. Apa yang saya tidak sokong adalah idea untuk menaturalisasikan pemain,” ujar Serbegeth kepada wartawan BH Online.

“Idea ini (mengambil pemain kacukan) memang sudah jadi kebiasaan kerana kita lihat negara Asia Tenggara yang lain pun buat juga. Ini tidak jadi masalah cuma pastikan pemain yang dipilih untuk skuad kebangsaan itu benar-benar bagus dan berkualiti.”

“Jadi, pemain tempatan tidak perlu rasa terpinggir ataupun diketepikan dan jangan rasa mereka tidak cukup bagus. Tidak semua pemain berdarah kacukan itu lebih baik berbanding mereka kerana ada kalanya pemain berdarah kacukan ini tiada istimewanya pun.”

“Untuk itu, sukat mereka (pemain kacukan) dengan kemampuan dan kebolehan dan kita pun perlu ubah mentaliti kita,” tambah Serbegeth lagi.

Sumber