Saham pemain skuad bawah 18 tahun negara (B-18) tiba-tiba meningkat selepas muncul sebagai naib juara kejohanan AFF B-18 di Vietnam apabila beberapa pemain pasukan itu mengakui telah mendapat tawaran daripada sebuah pasukan profesional yang beraksi dalam saingan Liga Super.

Menurut laporan daripada Stadium Astro, penjaga gol skuad Malaysia B-18, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman telah mendapat tawaran daripada pasukan Selangor. Bagaimanapun, beliau belum membuat sebarang keputusan kerana perlu berbincang dahulu dengan ibu bapanya dan jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Katanya, beliau juga perlu memikirkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan datang sebelum menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan.

“Saya akan mendapatkan nasihat daripada ibu bapa dan jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari terlebih dahulu mengenai tawaran yang telah diterima,” katanya seperti dipetik dalam Stadium Astro.

68453784_2334152230014861_1652094513692278784_n

FOTO: FAM

Sementara itu, seorang lagi pemain iaitu Umar Hakeem Suhar Redzuan mendedahkan beliau telah menerima lamaran daripada juara liga super 6 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas ibu bapanya berkunjung ke Johor minggu lalu.

Namun begitu, Umar mahu memikirkan tawaran tersebut terlebih dahulu kerana beliau amat mementingkan minit permainan dan tidak mahu sekadar memanaskan bangku simpanan.

“Masa beraksi di atas padang lebih penting buat saya. Keputusan belum dibuat dan cuba menunggu tawaran daripada kelab lain. JDT memiliki barisan pemain yang berkualiti dan saya amat memerlukan waktu beraksi dan ia adalah keutamaan saya,” kata Umar.

Selepas ini, skuad Malaysia B-18 akan menjalani latihan di luar negara sebagai persiapan menghadapi pusingan kelayakan AFC B-19 pada bulan November depan. Pada Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 ini, Malaysia diletakkan dengan Kumpulan G dengan tuan rumah, Kemboja, Thailand, Brunei dan Northern Mariana Islands.

Mereka akan menentang Kemboja pada 2 November, Brunei Darussalam (6 November), Northern Mariana Islands (8 November), sebelum menamatkan aksi pusingan kelayakan menentang Thailand pada 10 November.

Sebanyak 46 negara yang dibahagikan kepada 11 kumpulan bakal bersaing bagi merebut tempat ke pusingan akhir dengan juara setiap kumpulan dan lima pasukan terbaik di tempat kedua mara ke pusingan akhir.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group