Sebuah pasukan liga sosial KVL M4, Shah Alam Antlers FC terpaksa melupakan khidmat pemain berusia 16 tahun dari Vietnam, Ryan Nguyen Gilbert seketika apabila beliau menerima panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan Vietnam U18.

Lebih dikenali sebagai Ryan, beliau merupakan seorang pelajar International School of Kuala Lumpur telah menyertai pasukan Shah Alam Antlers FC pada bulan Januari 2019 selepas bakatnya berjaya dikesan oleh jurulatih pasukan, Ibrahim Madaki.

Menurut kenyataan oleh pihak kelab, Ryan membuat penampilan pertama dengan pasukan dalam kejohanan Community Challenge Cup (CCC) 2019 ketika bertemu Kerteh FC.

CCC merupakan kejohanan pra-musim melibatkan pasukan-pasukan komuniti di Malaysia dan edisi 2019 telah berjaya menarik minat Shah Alam Antlers FC, FC Pemanis, Raja Permin FC, Kerteh FC, Real Chukai FC, Ampang United FC, Setia Alam MT4 FC, dan DSPEX Dungin FC.

Selain itu, hasrat Antlers untuk menyenaraikan Ryan untuk saingan Piala FA 2019 gagal apabila peraturan tidak membenarkan pemain bawah 18 tahun didaftar sebagai pemain import.

Pemain berdarah campuran Vietnam dan Australia ini juga dilaporkan pernah beraksi bersama pasukan KV United musim 2018 dan menyertai saingan Selangor Champions League (SCL).

Selamat maju jaya diucapkan kepada Ryan Nguyen Gilbert bersama skuad Vietnam U18 dalam kejohanan AFF U18 Championship 2019 dan yang lebih menarik akan bertemu pasukan Malaysia U18 dalam perlawanan pertama Rabu nanti.