Terengganu FC tidak membuang masa dalam pencarian pemain bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan apabila mereka sah menandatangani khidmat pemain sayap lincah Singapura, Faris Ramli.

Perkara ini disahkan oleh pihak TFC sendiri menerusi satu pengumuman di laman media sosial rasmi pasukan dimana pemain yang pernah membantu Lions-XII memenangi saingan Liga Super pada musim 2013 itu menandatangani kontrak selama semusim.

Faris Ramli bukanlah satu nama yang asing dalam saingan Liga Malaysia dimana pemain berusia 27 tahun ini pernah beraksi bersama beberapa pasukan sebelum ini. Pengembaraan pertama Faris ialah bersama Lions-XII bermula musim 2012 hingga 2015. Selain meraih kejuaraan Liga pada 2013, Lions turut memenangi trofi Piala FA pada musim terakhir mereka di Liga Malaysia apabila menewaskan pasukan Kelantan di pentas final.

Pemain yang membuat 56 penampilan bersama skuad kebangsaan Singapura ini kembali membuat kemunculan dimana beliau menerima tawaran PKNS FC pada musim 2018. Bersama The Red Ants, Faris berjaya menjaringkan 6 gol dalam saingan Liga Super.

Faris Ramli
Sumber Gambar: NST

Faris kemudiannya menyertai pasukan yang direvolusi iaitu Perlis Northern Lions bagi saingan musim 2019. Namun setelah pasukan itu menghadapi krisis kewangan, bekas pemain Home United itu memilih untuk menamatkan kontrak beliau pada awal musim ini.

Kehadiran Faris bermakna beliau akan mengisi kuota pemain import Asean sekaligus menggantikan pemain dari Kemboja, Thiery Chanta-Bin yang digugurkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Baca artikel lain mengenai Terengganu FC yang telah kami sediakan di sini:

Terengganu FC Mula Buru Pemain Import Hadapi Musim 2020

Terengganu FC Lepaskan 12 Pemain Sebelum Hadapi Saingan Liga Malaysia Musim 2020

PBSNT Sahkan ‘Drogba’ Digugur Daripada Skuad Terengganu FC Musim Depan