Peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita sedih apabila pemain pertahanan kanan Petaling Jaya City (PJ City FC), Rajes Perumal dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya awal pagi tadi.

Perkembangan itu disahkan oleh PJ City dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi kenyataan rasmi yang disiarkan di laman sosial.

“Salam Takziah buat keluarga mendiang Rajesh Perumal, pemain PJ City FC yang meninggal dunia awal pagi ini.

“Semoga keluarga mendiang tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini,” tulis kenyataan PFAM.

Menurut rakan sepasukannya, S. Subramaniam, Rajes dilaporkan terlibat dalam kemalangan motorsikal di Batu Caves dan turut memohon kepada peminat agar menjaga sensitiviti ahli keluarga pemain itu.

“Sahabat saya Rajes Perumal, pemain bola sepak Liga Super PJ city FC mengalami kemalangan motosikal dan meninggal dunia malam tadi di Batu Caves.

“Mohon jangan sebarkan gambar- gambar kemalangan beliau di media sosial dan whatsapp demi menjaga kesensitivitian keluarga dan rakan- rakan beliau,” tulisnya di laman facebook.

Ketiadaan Rajes turut dirasai oleh bekas rakan sepasukannya dalam skuad Selangor 2014, Sharom Kalam.

Rajes merupakan antara tonggak yang sering berada dalam kesebelasan utama PJ City. Mendiang sempat beraksi  dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur City (KL City) ketika aksi terakhir Liga Super pada Sabtu lepas.

Sepanjang karier, mendiang pernah beraksi bersama PKNS FC pada tahun 2011 hingga 2013, memenangi gelaran Liga Premier 2011 serta pernah menyarung jersi Kedah pada musim 2015 dan membantu pasukan itu menjadi juara Liga Premier 2015.

Pemergian Rajes merupakan kehilangan besar dalam keluarga bola sepak Malaysia.

Kesempatan ini, VOCKET FC ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga mendiang Rajes Perumal dan semoga mereka tabah serta diberi kekuatan untuk menempuhi dugaan ini.