Peminat bola sepak tempatan semalam dikejutkan dengan kematian pemain skuad Piala Presiden Selangor FC iaitu Muhammad Husni Idrus selepas rebah di sebuah restoran di Petaling Jaya.

Perkembangan itu disahkan oleh Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) melalui pengumuman di laman sosial rasmi.

Allahyarham yang berusia 21 tahun telah turun beraksi buat kali terakhir bersama pasukannya ketika perlawanan Piala Presiden 2022 menentang Johor Darul Ta’zim III di Padang PKNS, Kelana Jaya, petang semalam.

Pengurusan SFC turut memohon semua pihak dapat bersama menjaga adab dan privasi keluarga Allahyarham dalam kita berkongsikan berita ini bagi menghormati keluarganya.

“Kami dari Selangor FC mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham dan bersama-sama kita mendoakan agar Allahyarham ditempatkan bersama dikalangan orang-orang beriman dan beramal soleh,” tulis kenyataan rasmi SFC.

Ketiadaan Husni Idrus merupakan satu kehilangan besar dalam bola sepak negara kerana Allahyarham merupakan seorang penyerang muda berbakat.

VOCKET FC ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.