Semua pemain perlu bersikap profesional serta menerapkan disiplin tinggi dalam mengekalkan tahap kecergasan biarpun terpaksa berlatih di rumah agar mereka sentiasa bersedia sekiranya saingan Liga Malaysia dapat dimulakan selepas tempoh kawalan pergerakan berakhir pada 31 Mac ini.

Perkara itu disuarakan ketua jurulatih FELDA United, Nidzam Jamil yang mengakui satu cabaran besar untuk mengetahui apa yang sedang dilakukan anak buahnga pada waktu tempoh ini walaupun beliau ada mengarahkan mereka melakukan aktiviti tertentu sepanjang berada di rumah.

Justeru, beliau tiada pilihan lain mengharapkan semua pemain patuh terhadap apa diarahkan selain turut cuba melakukan inisiatif tambahan bagi memastikan tahap kecergasan masing-masing tidak merosot.

Pemain
Sumber Gambar: Felda United

“Kita ada bagi program kepada pemain buat sepanjang tempoh kawalan pergerakan tetapi saya tidaklah sampai minta bukti video kerana bagi saya, pemain tahu tanggungjawab mereka untuk sentiasa kekal cergas dan saya mempercayai mereka.

“Saya tidaklah ada sebarang kaedah tertentu dalam tempoh seperti ini kerana saya percaya latihan dalam bola sepak seharusnya bermula di atas padang.

“Memang saya akui rasa sukar buat mana-mana seorang pemain bola sepak berada di tahap kecergasan terbaik sekiranya hanya sekadar berlatih di rumah dengan turut dibantu jurulatih kecergasan.

“Jadi saya harap pemain-pemain akan cuba semaksimum mungkin kekal aktif serta disiplin dalam melakukan sebarang aktivit fizikal kerana apabila latihan kembali bersambung, mereka masih kekal di tahap terbaik dan tidak ada sebarang masalah kesihatan, ” katanya.

FELDA kini berkedudukan tangga kelima CIMB Liga Super dan mula mendapat rentak sebelum saingan Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan bermula 16 Mac lalu selepas meraih satu kemenangan dan dua keputusan seri.

Aksi terakhir mereka di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri menyaksikan mereka berjaya mencuri satu mata apabila mengikat juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) melalui keputusan 1-1.

Selain itu, Nidzam mengharapkan Malaysian Football League (MFL) mampu memberikan masa bersesuaian kepada semua pasukan melakukan persiapan sekiranya liga dapat bersambung selepas tempoh kawalan pergerakan berakhir.

“Sebelum liga kembali bersambung jika isu COVID-19 ini reda, saya mengharapkan kerjasama MFL dan mungkin boleh bertanyakan juga pandangan tiap jurulatih yang kena menyiapkan semua pemain untuk mengharungi baki perlawanan dalam tempoh enam ke tujuh bulan ini.

“Bila liga terpaksa ditunda sebegini, segalanya termasuk program latihan dan kecergasan kena memerlukan sedikit masa bagi memastikan pemain betul-betul bersedia.

“Jadi semua orang kena sepakat dalam soal ini dan mendapatkan jalan tengah supaya pasukan serta pemain benar-benar bersedia kerana banyak aspek perlu direncanakan semula agar liga kita dapat disambung dalam keadaan kembali meriah, ”katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Apa Majalah Yang Paling Mempengaruhi Minat Bola Sepak Anda? WISEL! Jadi Pilihan Pengikut Kami Di Twitter.

Isu Tunggakan Elaun: KAFA Hantar Surat Penjelasan Kepada FAM, Laporan Rasmi Dari PFAM Masih Belum Diterima

FAS: Stadium Shah Alam Kini Selamat Untuk Digunakan