Pengurus pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa menggesa anak-anak buahnya untuk memberikan sepenuh perhatian pada perlawanan menentang Terengganu FC di laman sendiri hari ini bagi mengelak episode kekalahan ketika berdepan Petaling Jaya City FC pada Selasa lalu.

Menurut Lucho, para pemain perlu melupakan segera kekalahan kepada PJ City dan tidak memberikan tumpuan kepada sambutan kejuaraan selepas perlawanan bagi memastikan mereka menamatkan saingan Liga dengan tiga mata penuh.

Luciano Figueroa
Sumber Gambar: JST

“Lupakan kekalahan lalu dan kembali fokus untuk pertembungan menentang TFC. Mereka adalah pasukan serba boleh dibarisi pemain import yang baik dan juga kombinasi pemain tempatan yang mantap.

“Kita tidak boleh tewas dalam aksi terakhir liga. Pemain tahu tugas yang dipikul dan kami juga sudah memperbaiki apa jua kelemahan ketika tewas kepada PJ City FC, pemain kini tampak begitu bersemangat untuk berdepan TFC.

“Saya percaya mereka akan turun dengan lebih garang di depan penyokong sendiri yang ingin melihat kami menang dan kami berharap penyokong bertindak sebagai pemain ke-12 akan menyuntik semangat setiap pemain JDT,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Hasrat JDT untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super musim ini tidak kesampaian apabila tewas kepada PJ City dengan keputusan 1-0 di laman sendiri. Jaringan Jaringan Washington Brandao pada separuh masa kedua cukup untuk mengecewakan JDT.

Diogo Luis Santo
Sumber Gambar: JST

Perlawanan menentang TFC malam ini diberikan perhatian kerana penyerang JDT, Diogo Luis Santo sedang bersaing dengan penyerang PKNS FC, Kpah Sherman bagi anugerah Kasut Emas Liga Super. Diogo setakat ini telah menjaringkan 12 gol, dua gol dibelakang Kpah yang mendahului carta dengan 14 gol.