Khabar kurang gembira terus datang dari kem pasukan Perak apabila pemain mereka dikhabarkan sudah dua bulan tidak menerima sebarang gaji.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Perak terus dihimpit masalah dimana mereka sebelum ini digantung daripada menandatangani pemain baharu ekoran hutang berjumlah RM1,773,532.50 yang belum diselesaikan.

Bagi menghadapi saingan Liga Premier musim 2022, Perak mendaftarkan seramai 20 pemain dan kesemua pemain merupakan barisan daripada skuad musim lalu.

Empat pemain dilaporkan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan kini pasukan itu hanya mempunyai baki pemain seramai 13 ke 14 pemain untuk mengharungi lapan perlawanan awal saingan liga.

Perak berhutang dengan bekas pemain seperti Jeon Hyo Seok sebanyak US$100,000 atau RM420 Ribu, Leandro Dos Santos sebanyak US$136,800 atau RM574 Ribu selain RM41,000 serta bunga sebanyak lima peratus, Careca sebanyak US$122,400 atau RM514 Ribu selain RM14,000 serta bunga sebanyak lima peratus dan ejen pemain iaitu Valdir de Souza sebanyak US$51,000 atau RM214 Ribu.

Sebelum ini, beberapa pemain berpengalaman dalam saingan Liga Malaysia seperti Indra Putra Mahyuddin, Wan Zack Haikal san Syamim Yahya dikhabarkan bakal menyertai pasukan itu bagi menghadapi saingan musim 2022.

Dengan barisan pemain sedia ada, ditambah dengan masalah tunggakan gaji, sukar untuk skuad The Boss Gaurus memberikan saingan terbaik dalam musim pertama mereka di divisyen kedua setelah tersingkir dari Liga Super musim lalu.

Pemain sedia ada dilihat belum mampu untuk memberikan cabaran kepada pasukan lain yang mempunyai barisan pemain berkualiti ditambah dengan pemain import.

Selain Perak, satu lagi pasukan yang tersingkir ke Liga Premier musim ini ialah UiTM FC dan pasukan itu turut dilaporkan mengalami masalah tersendiri.

Liga Premier musim ini dimeriahkan sebanyak 10 pasukan iaitu Perak, Johor Darul Ta’zim II, Kelantan, Kelantan United, Kuching City, PDRM, Selangor II, Terengganu II, UiTM FC dan Skuad Projek FAM-MSN.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Ada Lagi Penaja Baharu Bakal Menyertai Liga Malaysia 2022 Selepas Ini

Jordan Ayimbila Tinggalkan Selangor Untuk Sertai Kelab Amerika Syarikat

Dibawa Khas Dari Turki, Penang Lancar Jersi Rasmi Pada 3 Mac Ini