• Pemain naturalisasi baharu skuad kebangsaan UAE, Sebastian Tagliabue  berstatus ‘Free Agent’ selepas 7 tahun bersama Al Wahda.
  • Beliau kecewa dengan cara pengurusan Al Wahda menamatkan kontraknya.

Penyerang kelahiran Argentina, Sebastian Tagliabue kini sedang mencari pasukan baharu selepas kelab Liga Pro UAE, Al Wahda mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya yang sepatutnya berakhir pada 30 Jun 2020.

Tagliabue menyertai Al Wahda sejak tahun 2013 dan telah menjaringkan 152 gol dalam 157 penampilan. Beliau hanya dipisahkan dengan perbezaan 10 gol sahaja untuk memegang status sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Pro UAE.

Ketiadaan pasukan baharu bakal menjejaskan peluangnya untuk menyarung jersi skuad kebangsaan UAE selepas mendapat passport dan status kewarganegaraan yang sah pada Januari lepas.

“Sudah tentu, saya sangat sedih dan keluarga saya juga sedih kerana kami perlu berpindah dari Al Wahda. Ini adalah rumah kedua saya dalam bola sepak dan keluarga saya juga sangat gembira berada di sini.

“Kami telah melalui tempoh 7 tahun yang cukup menakjubkan. Sangat terkejut apabila pihak kelab memberitahu mereka tidak mahu memberikan kontrak baharu. Saya tidak menjangka situasi ini akan berlaku kerana kami sudah mencapai persetujuan sebelum ini,” katanya dipetik dalam The National.

“Saya faham satu hari nanti saya perlu pergi tetapi bukan seperti ini. Mereka sepatutnya duduk berbincang dahulu sebelum menamatkan kontrak saya.

“Saya cuma kecewa dengan cara mereka ‘singkirkan’ saya. Ia bukan berkenaan duit atau benda lain. Beberapa hari lalu, mereka memberitahu saya perlu cari kelab lain kerana mereka tidak mampu bayar gaji mengikut kontrak yang telah dipersetujui,” tambahnya.

Tan Cheng
Sebastian Lucas Taglibue. FOTO: The National

Bagaimanapun, Tagliabue yang memohon kontrak lanjutan 2 tahun dengan Al Wahda enggan menyertai kelab dari negara lain dan memilih untuk tinggal di UAE bagi meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak professional.

“Untuk keluarga saya dan kehidupan sosial, saya lebih suka untuk tinggal di Abu Dhabi. Ada banyak kelab bagus di UAE. Kalau kami perlu pindah ke mana-mana kelab UAE, kami sedia pergi.

“Saya harap selepas habis musim ini, saya sudah mempunyai pasukan baharu. Kontrak saya dengan Al Wahda akan tamat pada penghujung bulan Jun. Mungkin satu hari nanti, saya akan kembali ke Al Wahda sebagai pemain atau jurulatih,” jelasnya.

Beliau sepatutnya membuat penampilan pertama dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia pada bulan Mac lalu namun perlawanan terpaksa ditangguhkan susulan penyebaran wabak pandemik COVID-19.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak UAE yang dilaporkan sebelum ini.

Belum Sempat Bertemu Malaysia, UAE Pecat Jurulatih Buat Kali Kedua

Bekas Pengendali Boca Junior Antara Tiga Calon Ketua Jurulatih Baharu UAE

Tan Cheng Hoe: Ketiadaan Jurulatih Tidak Jejaskan UAE