Ketua jurulatih skuad kebangsaan Thailand, Akira Nishino telah memanggil pemain muda yang kini bersama Leicester City, Thanawat Suengchitthawon bagi menyertai sesi latihan pusat menjelang Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Nama Thanawat terus melonjak naik selepas pemain tengah menyerang berusia 21 tahun kelahiran Thailand itu disenaraikan oleh pengurus Leicester City, Brendan Rodgers di bangku simpanan ketika pertemuan menentang  Manchester City dan West Ham United.

Bagaimanapun, Thanawat yang pernah membuat penampilan bersama skuad remaja Perancis itu tidak diturunkan pada perlawanan tersebut.

Kehadiran Thanawat dilihat mampu menambah kekuatan di jentera tengah Thailand apabila Rodgers begitu tertarik dengan teknik hebat dimiliki pemain tersebut.

“Anda mungkin sudah melihat aksinya di skuad B-23. Dia berjaya menjaringkan dua gol ketika bertemu Manchester United B-23,” ujar Rodgers menurut laporan Goal.

“Dia seorang pemain tengah menyerang dan mempunyai teknik yang cukup hebat. Badannya memang kecil tetapi dia mampu menampilkan corak permainan hebat.”

Seperti yang diketahui, Thailand merupakan pasukan yang beraksi dalam kumpulan G bersama-sama Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Selepas berakhir lima perlawanan bagi empat pasukan manakala UAE pula baharu merasai empat aksi, Vietnam ketika ini sedang memimpin carta dengan 11 mata, berkelebihan dua mata di hadapan Malaysia dan Thailand pula di tangga ketiga selepas mengumpul lapan mata.

Baki tiga perlawanan tersebut menyaksikan Thailand akan berhadapan Indonesia pada 3 Jun.

Berselang empat hari kemudian, mereka akan menghadapi UAE manakala Malaysia menjadi lawan terakhir pada 15 Jun. Kesemua perlawanan dijadualkan berlangsung di UAE.

Baca artikel lain mengenai Thanawat Suengchitthawon dan pemain muda Thailand lain di sini:

Thanawat Suengchitthawon Jaringkan Gol Pertama Bersama Leicester City

Pemain Kacukan Perancis-Thailand, Thanawat Suengchitthawon Semakin Hampir Sertai Leicester City

Pemain Kacukan England-Thailand, Ben Davis Lanjutkan Kontrak Bersama Fulham