Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Tunggakan gaji pemain Melaka United nampaknya masih belum dilunaskan walaupun saingan Liga Malaysia musim 2022 sudah pun melabuhkan tirainya sehingga menyebabkan mereka hilang sabar.

Artikel Berkaitan:

Situasi itu memaksa beberapa pemain Melaka United membuat satu kenyataan di laman instagram masing-masing untuk memohon pertolongan daripada pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) kerana mereka tiada pilihan lain.

TMJ merupakan penaung Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang sering memperjuangkan nasib pemain berdepan tunggakan gaji dengan masalah itu juga masih membelenggu pasukan Liga Malaysia sehingga kini.

“Ampun Tuanku dengan rasa rendah diri kami pemain MUFC ingin memohon pertolongan Tunku, untuk menyelesaikan kemelut gaji kami antara Pegawai Eksekutif MUFC @justin_lht dan pihak MUSA (Melaka Association Soccer Associate) @sulaiman_mdali_official.

“Tanpa pertolongan Tunku, kedua-dua pihak ini akan terus berdiam diri. Dengan ini kami berharap Tunku dapat bantu pemain Melaka,” tulis pemain sayap Melaka United, Wan Zaharulnizam di laman Instagramnya.

Difahamkan sudah lima bulan mereka tidak terima bayaran gaji daripada Melaka United sekaligus menyebabkan pasukan itu menerima hukuman larangan bermain dalam saingan Piala Malaysia 2022.

Malaysian Football League (MFL) sebelum ini mendedahkan pihak Melaka United telah menerima notis peringatan pada 6 September 2022 untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terlibat sehingga 20 September 2022.

Namun, sehingga ke 21 September 2022, Melaka United hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran sehingga Jun 2022 sekaligus tidak dibenarkan beraksi dalam Piala Malaysia 2022.

Bulan Januari lalu, PFAM pernah mendedahkan Melaka United masih mempunyai tunggakan gaji yang melibatkan pemain Skuad Utama adalah sebanyak 3 bulan dan tunggakan bagi Skuad Piala Presiden adalah sebanyak 2 bulan setengah.

Tidak dinafikan masalah tunggakan gaji yang berulang setiap musim menyukarkan Liga Malaysia untuk melangkah ke tahap yang lebih baik.

Ia hanya akan memberi imej buruk kepada Liga Malaysia maka sukar untuk mana-mana penaja mahu terlibat dengan pasukan sekaligus mengurangkan keyakinan syarikat besar untuk menjadi penaja utama.

Tahun lepas sebanyak 147 kes tunggakan gaji melibatkan permohonan bekas pemain dari Malaysia telah diluluskan dan menerima geran program ‘FIFA Fund for Football Players’.

Jumlah tersebut menjadikan Malaysia di kedudukan kedua selepas Greece yang merekodkan kelulusan permohonan kes terbanyak iaitu sebanyak 291.