Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon telah tiba di Singapura bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 (FAS Tri-Nations Series 2022) bertemu Filipina (23 Mac) dan Singapura (26 Mac) serta satu lagi perlawanan persahabatan bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC Singapore pada 28 Mac 2022.

Setelah menjalani kem latihan pusat selama lapan hari dan mengenali pemain dengan lebih dekat, Pan-gon kini sudah mempunyai calon pemain yang bakal dilantik sebagai ketua pasukan.

Empat pemain dikhabarkan berada dalam senarai pendek Pan-gon untuk dilantik sebagai ketua pasukan. Empat pemain yang dimaksudkan ialah Safiq Rahim, Aidil Zafuan, Farizal Marlias dan Syafiq Ahmad.

Harimau Malaya
Sumber Gambar: FAM

Aidil Zafuan menjadi pilihan ketua jurulatih sebelum ini, Tan Cheng Hoe bagi memakai lilitan kapten selepas Safiq Rahim tidak lagi beraksi bersama pasukan negara.

Dari segi pengalaman, sememangnya Safiq, Aidil dan Farizal mempunyai kelebihan kerana telah lama beraksi bersama skuad Harimau Malaya dan pernah beraksi dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

Namun, kelibat Syafiq Ahmad tidak boleh dipandang rendah apatah lagi selepas beliau menampilkan prestasi cemerlang sejak kembali menyertai Kedah Darul Aman bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Pan-gon wajar untuk mempertimbangkan nama Syafiq sebagai ketua pasukan skuad kebangsaan sekaligus menandakan era baharu Harimau Malaya di bawah kendaliannya.

Tiga perlawanan di Singapura menjadi medan ujian bagi Pan-gon untuk melihat sejauh mana kemampuan pemain negara menjelang kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun ini.

Filipina dan Singapura membawa pemain terbaik mereka dan ini bakal menjadi ujian yang tersendiri kepada pemain dan juga corak permainan yang bakal diterapkan oleh Pan-gon.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Pemain Kuala Lumpur City Terima Gaji Bulan Januari, Tunggakan Berbaki Sebulan

TMJ: Selangor Sekarang Ada Ramai Pakar, Mereka Tak Perlukan Bantuan

11 Pemain JDT Tersenarai Dalam 25 Pemain Ke FAS Tri-Nations Series 2022 Di Singapura