Khidmat Lim Teong Kim sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) masih lagi ditagih apabila dua pemain AMd mahu bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu dikekalkan.

Raja Muhammad Haikal Raja Muhammad Zahari dan Muhammad Danial Haiqal Mohd Shaipol menegaskan satu kerugian besar sekiranya AMD kehilangan khidmat Teong Kim kerana jurulatih itu sudah terbukti kemampuannya dengan melahirkan beberapa pemain bintang seperti Thomas Muller, Toni Kroos dan Phillip Lahm.

Hadi Fayyadh
Raja Haikal dan Danial Haiqal bersama penyerang Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak
FOTO: SportFlex

Raja Haikal berkata: Saya harap dia dapat kekal di sini. Ramai yang mengatakan Teong Kim adalah jurulatih garang namun apa yang diajar olehnya adalah perkara betul dalam bola sepak.

“Malah, dia membawa budaya Eropah khususnya menerusi disiplin ketika berada di atas padang. Itulah yang kami praktikkan dan kami memang banyak belajar daripadanya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Seorang lagi pemain, Muhammad Danial Haiqal pula berpendapat rata-rata pemain AMD dapat memahami perkara yang diajarkan oleh Teong Kim. Danial turut menyatakan bekas pemain Kuala Lumpur itu memainkan peranan penting kerana telah mengajarkan teknik bagaimana untuk menjadi seorang penyerang yang baik.

5 pemain ADP
5 pemain yang mewakili negara dalam program Asean Dreams Project (ADP)

Beliau juga mahu kontrak pengendali berusia 55 tahun itu yang bakal berakhir pada Oktober ini dilanjutkan.

Untuk rekod, Raja Haikal dan Danial Haiqal merupakan antara lima pemain bawah 15 tahun (B-15) yang mewakili negara ke Projek Impian ASEAN (ADP) 2019 di Osaka.

Tiga lagi pemain adalah Muhamad Afiq Norizan (Sekolah Sukan Negeri Melaka); Muhammad Farizzudin Adham Batcha (Sekolah Sukan Negeri Selangor) serta Anas Nadawi Shaharudin (SMK Bandar Baru Bangi).