Bekas pemain skuad kebangsaan Lubnan, Mohammed Atwi dilaporkan meninggal dunia semalam selepas sebulan menerima rawatan akibat terkena tembakan peluru sesat di kepala.

Menurut laporan daripada Al Jazeera, pemain tengah yang berusia 33 tahun itu dimasukkan dalam unit rawatan rapi (ICU) selepas terkena peluru tembakan yang dilepaskan sewaktu upacara pengebumian seorang anggota bomba, Joe Bou Saab, yang terbunuh dalam tragedi letupan Beirut bulan lepas.

Walaupun pembedahan mengeluarkan peluru yang terbenam di tengkoraknya sudah berjaya namun beliau disahkan meninggal dunia kerana mengalami pendarahan yang teruk.

Tembakan ke udara ketika majlis perkahwinan, acara politik, perayaan dan pengebumian merupakan acara lazim yang sering diadakan di negara Timur Tengah namun ia berisiko mengakibatkan kematian dan kecederaan kepada orang awam.

Selepas kejadian itu, rakyat Lubnan mengadakan satu tunjuk perasaan menggesa untuk menghentikan amalan melepaskan tembakan dalam sesuatu acara.

Atwi pernah beraksi dengan skuad Lubnan dalam Kelayakan Piala Dunia 2014. Malah, beliau juga merupakan pemain tengah terbaik Liga Lubnan pada musim 2010/2011 serta membantu kelab Ansar menjuarai Piala FA sebanyak 3 kali.

Musim ini, beliau mewakili pasukan Al-Akhaa Al-Ahly Aley.

Menteri Belia dan Sukan Lubnan, Vartine Ohanian dalam satu kenyataan mengakui sangat terkejut dan menyifatkan kematian Atwi merupakan kehilangan besar kepada negara itu .

“Lubnan telah kehilangan seorang pemain yang jujur dan rendah hati. Beliau juga adalah simbol kepada semangat kesukanan tinggi,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

FIFA Arahkan Anderlecht Bayar RM2.56 Juta Kepada Buriram United, Komisen Penjualan Frank Acheampong Masih Tertunggak

Jurulatih Arab Saudi Dipecat Selepas Seri 3-3 Menentang Indonesia

Pemain Liga Perdana Inggeris Yang Mempunyai Pertalian Darah Dengan Negara Asean