Selepas 16 tahun, Leeds United akhirnya memenangi promosi ke Liga Perdana Inggeris musim 2020/2021. Ianya disahkan pada ketika pasukan di tempat kedua West Brom tewas 2-1 kepada Huddersfield dalam aksi Liga Kejuaraan kelmarin.

Kembalinya Leeds yang ditunggu-tunggu ke pirama teratas dalam bola sepak Inggeris melengkapkan perjalanan bergelora yang pernah menyaksikan mereka menjadi bahan ketawa ketika zaman kejatuhan sehingga diturunkan pangkat ke divisyen ketiga.

Kejayaan Leeds turut menarik perhatian peminat bola sepak Indonesia apabila salah seorang daripada pemain pertahanan skuad itu dikatakan mempunyai darah keturunan negara tersebut.

Bek tengah yang berusia 20 tahun, Pascal Struijk, menjadi calon terbaharu untuk dipanggil memperkuatkan skuad garuda berdasarkan darah keturunan Indonesia di sebelah ayahnya.

Bagaimanapun, dalam satu temubual bersama media Belgium, Sport Magazine, Struijk mengakui masih tidak berminat untuk menyarung jersi Indonesia sebaliknya menyasarkan untuk menyertai Belanda.

“Ya, melalui datuk dan nenek saya yang meninggalkan Hindia Belanda (nama Indonesia dulu) ke Belanda. Saya memiliki hubungan dengan Indonesia tetapi kini lebih terlibat dengan Belanda dan Belgium.

“Di Indonesia, mereka tahu saya memiliki darah Indonesia. Tidak tahu macam mana mereka boleh mengetahuinya,” katanya dalam Sport Magazine.

Beliau juga sebelum ini pernah menyertai skuad Belanda bawah 17 tahun (B-17) ketika masih beraksi bersama skuad simpanan Ajax Amsterdam.

“Saya sangat gembira bila menerima panggilan dari Roberto Martinez (Jurulatih Belgium), tetapi saya lebih suka Belanda. Hingga bawah 17 tahun, saya sering dipanggil dan ianya berhenti ketika saya berada di bangku simpanan Ajax,” ujar Pascal Struijk.

“Jika mereka tidak menyukai saya di Belanda dan jurulatih Belgium bersedia memberi saya peluang, saya pasti memilih Belgium” tambahnya.

Walaupun, Struijk memilih Belgium dan Belanda, namun peluang Indonesia untuk mendapatkan khidmat pemain itu masih belum tertutup selagi beliau tidak mendapat panggilan rasmi daripada kedua-dua negara itu.

Baca artikel lain mengenai Leeds United melalui pautan dibawah.

Leeds Kembali Selepas 16 Tahun

Roses Derby, Sejarah Panjang Permusuhan Man United Dan Leeds Bermula Daripada Perebutan Tahta Dua Kota