Pemain muda berdarah kacukan Malaysia dan England, Stuart Wilkin hari ini mengumumkan beliau telah menandatangani kontrak dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Beliau telah pun membuat penampilan sulung bersama pasukan ‘feeder club’, JDT II ketika menentang skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Premier pada 4 April lepas.

“Sangat gembira akhirnya menyertai JDT. Satu penghormatan apabila diberi peluang untuk mewakili kelab yang hebat ini. Terima kasih kepada Junior Eldstal dan Scott Ollerenshaw kerana membantu ia menjadi kenyataan,” katanya melalui laman twitter.

Pemain yang berusia 22 tahun itu telah tiba di Malaysia sejak bulan Oktober tahun lalu dan beliau juga sempat menjalani latihan dengan skuad utama JDT.

Dua tahun lalu, beliau pernah menyatakan minat untuk menyarung jersi pasukan bawah 23 tahun Malaysia ketika dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Beraksi di posisi sayap, Wilkin merupakan produk daripada akademi Southampton FC. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran dan menyertai pasukan Missouri State Bears dalam saingan Liga Universiti Amerika Syarikat.

Ketika mewakili skuad remaja Southampton FC, beliau membuat 20 penampilan dalam saingan Liga Belia England musim 2015/2016 dan satu penampilan dalam saingan Piala FA Belia. Wilkin juga berjaya menjaringkan 4 gol serta 12 assists pada musim tersebut.

Jika beliau konsisten mempamerkan prestasi cemerlang dalam Liga Premier, ia bakal memberi banyak pilihan kepada Benjamin Mora untuk membentuk barisan yang lebih kuat dalam saingan Liga Super pada musim depan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pemain berdarah kacukan Malaysia melalui pautan dibawah.

Hasrat Kobe Chong Beraksi Bersama Harimau Malaya Tertangguh

Gol Junior Eldstal Benam Cabaran Buriram United, Bawa Chonburi Ke Final Thai FA Cup 2021

Nick Swirad Jadi Pemain Kedua Malaysia Menangi Takhta Liga Di Thailand