Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini mengesahkan terdapat 235 kes baru wabak COVID-19 di negara ini dilaporkan. Tambahan kes baru ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 2,031 sejak bulan lalu.

Peningkatan kes tersebut telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga memaksa kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan untuk mencegah penularan baharu wabak epidemik tersebut.

Perintah kawalan selama 14 hari itu membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat wabak tersebut, para pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memotong sebahagian daripada gaji mereka untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana Negeri Johor.

“Penularan wabak COVID-19 telah mencabar setiap dari kita dan masyarakat perlu sama-sama berganding bahu menghadapi waktu mencabar ini.

“Saya berharap sumbangan kami dapat membantu banyak pihak dan saya menyeru agar ramai lagi tampil ke hadapan dan melakukan apa jua bentuk sumbangan bagi membantu kita semua mengharungi episod gelap ini,” kata kapten pasukan, Harris Harun.

Ini bukan kali pertama JDT memberi bantuan kerana sebelum ini mereka pernah memberikan sumbangan kepada mangsa bencana banjir di Pahang dan Kelantan serta mangsa bencana gempa bumi di Sabah dengan memberi wang kemenangan Piala Malaysia.

Semoga langkah yang dilakukan oleh JDT menjadi ikutan oleh pasukan Liga Malaysia untuk membantu meringankan beban masyarakat.

Baca artikel lain mengenai sumbangan JDT melalui pautan dibawah.

JDT Pulangkan Semula Wang Insentif Kemenangan Piala Malaysia Untuk Pembelian Bot Pembersihan Sungai

Perlawanan Amal ‘JDT All-Stars’ Berjaya Kutip Dana Lebih RM600,000