Badan pentadbir Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) memaklumkan pihaknya sedang menyiasat insiden pergaduhan membabitkan pengadil perlawanan dengan pemain dan pegawai pasukan Johor Bharu FA (JBFA) yang berlaku selepas tamat perlawanan Liga divisyen 3 (M3) menentang Kelantang United pada hari sabtu lepas.

Menurut kenyataan rasmi di laman web MFL, mereka sudah pun menerima laporan awal daripada pengadil perlawanan yang diserahkan oleh penganjur Liga M3, Amateur Football League (AFL) berhubung insiden itu dan sudah mengarahkan pihak JBFA untuk tampil memberikan keterangan.

Selain itu MFL juga akan mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada koordinator perlawanan, pengadil dan pasukan pelawat Kelantan United FC sebelum sebarang tindakan diambil.

“Di sini MFL ingin menegaskan bahawa kami memandang serius terhadap sebarang salah laku pemain dan pegawai dalam perlawanan.

“Selain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bertanggungjawab untuk mengenakan tindakan ke atas sebarang kesalahan disiplin, MFL sebagai penganjur Liga Malaysia turut mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan yang ada,” kata kenyataan tersebut.

Insiden pergaduhan itu berlaku kerana pemain JBFA tidak berpuas hati apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti pada minit akhir kepada Kelantan United. Selepas itu, pemain JBFA bertindak mengejar pengadil hingga ke luar padang memaksa campur tangan pasukan keselamatan dan ia turut tular di media sosial.

Menurut sumber, pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas bola didakwa terkena tangan pemain JBFA dan sepakan itu disempurnakan Gassama Alfusainey untuk mengikat kedudukan 3-3.

Berdasarkan peraturan Liga M3 Artikel 5 (c) (viii), mana-mana pemain atau pegawai yang dilaporkan berkelakuan tidak berdisplin atau bertindak ganas di sekitar tempat permainan dan juga terhadap pengadil atau pegawai perlawanan, maka mereka akan dihadapkan ke unit Perundangan MFL mengikut peraturan yang ditetapkan oleh MFL.

Berdasarkan peraturan Liga M3 dan menurut hasil siasatan MFL, jika didapati bersalah, pasukan bersalah boleh diisytiharkan sebagai pasukan yang kalah dengan jumlah gol sebanyak 0-3; dan/atau pemotongan tiga mata ke atas pasukan bersalah; atau pemain, pegawai atau pasukan terbabit boleh disingkirkan dari Liga M3.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, insiden pergaduhan membabitkan pemain dengan pengadil tidak boleh diterima sama sekali, tidak kira dalam mana-mana saingan sekalipun.

“Tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku walaupun di Liga M3 kerana ia boleh mencemarkan mutu bola sepak negara. Apa yang saya boleh katakan, tindakan itu bakal mengundang hukuman berat kepada pemain dan setakat ini laporan yang diterima membabitkan empat pemain dan seorang pegawai pengurusan pasukan.

“Kejadian itu sebenarnya tidak terhenti di atas padang saja kerana mengikut maklumat terdapat juga pergaduhan dalam terowong ke bilik persalinan,” katanya dalam Arena Metro.

Sumber