Pasukan Perak terus menampilkan aksi hambar dalam saingan Liga Super 2019 apabila mereka tewas dengan keputusan 1-0 ketika bertemu pasukan Pahang di laman sendiri pada Sabtu lalu.

Setakat sembilan perlawanan Liga, Perak hanya mampu mencatat satu kemenangan, enam seri dan mengalami dua kekalahan. Satu pencapaian yang mengecewakan memandangkan skuad The Boss Gaurus dicanang sebagai pasukan yang akan bersaing di kelompok empat pasukan teratas setelah mereka memenangi Piala Malaysia musim lalu.

Berikutan prestasi hambar yang ditampilkan oleh Perak, pemain import pasukan berdepan dengan risiko disingkirkan bagi digantikan dengan pemain import baru. Zac Anderson setakat ini gagal untuk menampilkan aksi terbaik di bahagian pertahanan. Beliau juga jarang diturunkan dalam kesebelasan utama kerana sering mengalami kecederaan.

Prestasi dua pemain import di bahagian serangan, Gilmar Da Silva dan Wander Luiz turut dipersoalkan apabila kedua-dua pemain hanya mampu menjaringkan dua gol dalam saingan Liga setakat ini.

Wander Luiz
Sumber Gambar: MFL

Perak akan turun menentang Kuala Lumpur pada esok dan seterusnya mereka akan berkunjung ke Manjung bagi menghadapi pasukan PKNP FC. Jika pasukan bimbingan Mehmer Durakovic gagal untuk bangkit dengan mencatat kemenangan dan pemain import menampilkan aksi yang longlai, tidak mustahil tiga nama yang disebutkan di atas akan diganti pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang akan dibuka Mei ini.