Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi mencuit hati netizen apabila berseloroh mengatakan pemain import pasukan KDA FC mampu bercakap dalam bahasa Kedah.

Beliau berkata demikian melalui laman facebooknya, selepas hadir menyaksikan perlawanan Liga Super  antara Kedah Darul Aman (KDA) dan Selangor di Stadium Darul Aman, semalam.

“Mai tgk bola sat malam ni, Kedah lawan Selangor. Player (pemain) import kami reti oooo cakap Kedah, ‘Hang ni awatttt’….’Hang pasai paaaaa’,”

“Satu lagi, Awat depa koyak taktau,” tulisnya di ruang komen.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah itu mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan apabila memberikan ucapan seakan-akan menyindir skuad Harimau Selatan yang muncul sebagai juara Piala FA 2022.

“Tahniah JDT menang Piala FA, sayangnya pemain JDT tak pandai cakap Johor,” tulis Sanusi di laman Facebooknya, baru-baru ini.

Dalam perlawanan semalam, Kedah berjaya menewaskan Selangor 3-1 sekaligus mengutip 3 mata penuh untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super. Sanusi juga turut memuji corak permainan Selangor dan mengucapkan tahniah kepada skuad KDA FC.

“Tahniah KDAFC… semangat juang dan usaha keras di halaman sendiri membuahkan hasil… pulun sampai menang!

“Selangor juga mempamerkan permainan yang hebat malam tadi. Banyak percubaan cantik, larian pantas, tendangan kencang yang nyaris-nyaris menerjah jaring Kedah. Penjaga gawang Kedah dan tiang gol menjadi penyelamat. Terima Kasih Selangor FC,” katanya.