Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B.Sathianathan menegaskan calon pemain naturalisasi perlu mempunyai tahap disiplin yang tinggi jika mereka ingin menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Sathia berkata demikian kerana ramai pemain yang bagaikan ‘lupa daratan’ dan sukar untuk dikawal setelah mengecapi kejayaan besar. Perkara ini menurut Sathia akan merugikan pasukan negara sekiranya tersalah pilih pemain naturalisasi.

Sathia Selangor
Sumber Gambar: Football Tribe

“Sebenarnya kalau mana-mana pemain (asing) ada masalah disiplin, mereka tidak akan bermain untuk skuad negara (menjadi pemain naturalisasi).

“Bila tiada tempat dalam skuad kebangsaan mahupun kelab, mereka mungkin jual jam atau kain di kaki lima. Jadi kalau mereka betul ingin menyarung jersi negara, mereka harus jaga disiplin,” katanya menurut laporan Berita Harian.

B.Sathianathan merupakan salah seorang daripada ahli Jawatankuasa Program Naturalisasi kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Beliau memberi jaminan ahli jawatankuasa akan menapis calon pemain naturalisasi dan memastikan mereka mempunyai tahap disiplin yang tinggi.

“Kita mengambil serius soal pengambilan pemain. Kita akan menilai segenap aspek berkaitan pemain (calon) itu sedalam-dalamnya. Kita mahu pastikan pemain diberi kerakyatan itu mempunyai kesungguhan dan semangat yang sama seperti pemain tempatan,” tambahnya.